Rabu, 18 Mei 2011

UMNO Dan PAS Sama-Sama Punya Ego Yang Hampas!


Di mana-mana sahaja sudah mula kedengaran ajakan ke arah penyatuan perpaduan di kalangan bangsa Melayu. Hanya perpaduan yang dapat mengekalkan ketuanan Melayu. Satu ungkapan yang cukup dibenci oleh PAS yang kesemuanya adalah Melayu. 


Perpaduan cukup payah dicapai di kala kita senang, mewah, selesa dan terjamin. Perpaduan akan tetap dilayan mudah sama seperti ajakan kepada para belia mahupun dewasa tentang peri pentingnya mendaftar sebagai pengundi dan turun mengundi. Kerana kita sudah yakin tak akan merasai kehilangan tanah air sendiri kepada bukan bangsa Melayu. 

Tetapi perpaduan sangat mudah dicapai apabila kita semakin hampir akan kehilangan atau sudah kehilangan. Dan kala itu Melayu rela bersatu, rela mengorbankan apa saja hatta nyawa sekalipun demi mengembalikan sesuatu yang berharga yang semakin terhakis.

Jika dulu sewaktu menuntut kemerdekaan, Melayu masih belum hilang negara. Melayu masih belum hilang sultan. Melayu belum hilang Islam sebagai agama rasmi. Tetapi bermula PRU12 sehingga ke detik ini, ramai Melayu yang tidak menyedari bahawa ambang-ambang untuk kehilangan ketuanan Melayu di bumi sendiri semakin dekat. Tidak jauh. Jaraknya seperti kita berada di dalam rumah, apabil dibuka jendela dan pintu maka ancaman itu datang sangat dekat seperti pedang menghala ke anak mata.

Muda mudi semakin hanyut dengan pelbagai masalah sosial sehingga bilangan belia Melayu yang berkenyakinan akan kebersihan, kemurniaan dan kekuatan diri sebagai manusia terhakis. Di kala mereka menginjak dewasa, mereka memandang dari jauh anjakan untuk ke arah yang lebih baik kerana dicengkam dosa dan rendah diri tanpa ada siapa pun yang bangun meyakinkan 'Bangunlah kalian. Jangan putus asa. Bertaubat pada Allah dan kembalilah ke jalan yang benar. Bersatulah demi Islam, bangsa dan negara kerana tanpa Melayu siapakah yang akan menegakkan Islam. Tanpa Melayu siapakah yang akan bangun mempertahankan Melayu? Orang putih? India? Atau Cina? 

Tetapi hari ini Melayu masih berkelahi. Ada satu pihak yang berasa kaya itu wajib. Menjadi wakil rakyat hidup 7 generasi keluarganya akan senang lenang. Agama seolah satu perkara yang jauh dari kehidupan bermasyarakat. Sembahyang hanya 2 kali setahun iaitu hari raya aidilfitri dan aidiladha. 

Satu pihak lagi sering menjuih bibir, mencemik dan saling berkata pada diri sendiri. Kita yang paling afdal masuk syurga sebab kita yang paling baik dalam menutup aurat. Kitalah yang paling banyak membaca Al-Quran dan kitalah yang selalu menegur cara perempuan lain memakai tudung dan berhias. Sehingga kita lupa  bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui ketaqwaan dan keimanan setiap insan. Kenapa perlu mengutuk dan berasa bangga dan menghinakan satu golongan yang dilihat tidak menepati citarasa kita disebabkan rasa juah dalam diri kita bahawa kita muslim yang teramat soleh dan baik?

Lalu berlaku dua pertembungan prasangka dan selisih faham antara keduanya. Satu memikirkan betapa pemikiran satu golongan itu tidak seiring dengan dunia material dan golongan yang satu lagi tidak diterima ibadah dan solat mereka hanya kerana mereka berpakaian.

Dua golongan umat Melayu berpecah. Satu ingin mendekati agama tetapi serik bilamana masuk masjid terdengar maki hamun pihak pemerintah tetapi dalam masa yang sama menadah kopiah meminta derma. Dan satu lagi ingin berbuat kebajikan masyarakat tetapi tawar hati melihat ramainya perempuan-perempuan rambutnya berwarna ekor kuda. 

Tiada keinginan antara keduanya untuk nasihat menasihati dengan cara redha dan menerima keteguran.

Lalu sampai bila?

Selagi kedua-duanya tidak cuba saling melengkapi jurang atau lompong akibat saling menjauhi itu, maka selagi itulah masalah-masalah sosial dan perpaduan tidak akan tercapai.

Mungkin ketuanan Melayu patut dihilangkan bagi meleraikan ego dan sombong antara keduanya. Mungkin sememangnya Melayu lebih banyak menghasilkan si kitol seperti dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka. 

Islam di Malaysia selama ini ditegakkan oleh Melayu. Itu adalah fakta kerana majoriti bangsa Melayulah yang mengekalkan Islam sebagai agama rasmi negara ini. 

Jika tidak bersatu padu maka Melayu bukan sahaja kehilangan bangsa tetapi agamanya tidak dapat ditinggikan dan negara milik nenek moyangnya sendiri. 

Dan jangan hairan jika di bumi ini, azan sudah tidak kedengaran lagi dan kita hanya mampu menangis tatkala melihat waktu-waktu masuknya solat melalui jam dan bayang matahari tanpa adanya muazin melaungkannya. Sebabnya pemerintah yang bukan beragama Islam dan berbangsa Melayu memutuskan bahawa Islam bukan lagi agama rasmi Malaysia.

Nauzubillah..

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates