Jumaat, 9 Mac 2012

Orang Islam/Melayu mudah ditipu


Kedah Times bawa semula penulisan Dato Mashitah untuk renungan dan ingatan kita semua terutama penyokong-penyokong PAS dan PKR.

Orang Melayu dan Islam boleh dikatakan amat senang ditipu terutama yang melibatkan hal-hal berkaitan dengan Islam. Sebut saja atas nama Islam, maka tanpa usul periksa kita menjadi taksub.

Ramai menjadi mangsa akibat dari kejahilan dan kelemahan iman sendiri. Sedikit saja manipulasi, maka taksub atau fanatik lah mereka jadinya.

Kita bercakap tentang rujukan kita kepada Quran dan Hadis tetapi apabila timbul penipuan agama dan sebagainya kita lupa tentang Quran dan Hadis. Kita hanya pandai sebut dimulut saja yang kita perlu kembali kepada Quran dan Hadis tetapi hakikatnya kita lebih mengikut emosi kita.

Ini berlaku terang-terangan kepada Penyokong PAS dan PKR!

Pernah di Bachok, Kelantan, berpusu-pusu orang ke sebuah telaga untuk minum airnya walaupun kotor kerana percaya ia berkhasiat dan boleh menyembuhkan penyakit.

Setiap seorang dikenakan bayaran beberapa ringgit diberi minum air telaga itu. Mereka sebenarnya mangsa penipuan pemilik telaga itu. Sebatang pokok kononnya boleh membawa tuah kerana menyerupai wajah manusia juga menarik ramai pengunjung, justeru membuka peluang kepada pemilik pokok untuk ‘buat duit’ daripada mereka yang mudah tertipu.

Kita juga pernah terbaca mengenai orang tertipu dengan khasiat batu, sehingga sanggup membayar ribuan ringgit. Kononnya jika diminum air yang direndam batu itu, maka macam-macam keadaan yang dihadapi dapat dipulihkan. Berapa ramai pula anak dara, pelajar dan wanita yang tertipu seterusnya dicabul dan dirogol bomoh durjana, yang kononnya dapat merawat pelbagai penyakit yang dihadapi mereka.

Paling banyak kedengaran masakini ialah penipuan yang dijalankan secara licik oleh warga Afrika. Mereka mengguna pelbagai kaedah untuk memperdaya mangsa melalui internet. Skim black money, peninggalan harta wasiat, pelaburan secara maya dan bercinta dengan wanita berumur adalah antara bentuk penipuan popular.

Walaupun banyak kali didedahkan di media umum dan diberi peringatan oleh pihak berkuasa, masih ramai yang terjerumus. Tidak kurang juga terpedaya dengan balasan lumayan untuk menjadi keldai dadah, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

Statistik rasmi menunjukkan bahawa 1,900 rakyat negara ini, termasuk 25 peratus wanita, meringkuk dalam penjara di Peru, Brazil, Argentina, Sepanyol, Itali dan China kerana sanggup menjadi keldai dadah.

Kenapa mudah sangat rakyat kita ditipu? Adakah kerana masyarakat kita tidak peka dengan keadaan, mudah mempercayai orang lain atau sengaja mahu menempah kemudaratan?

Penipuan juga sering berlaku dalam urusan perniagaan dan muamalat dalam sektor awam dan swasta. Dalam bidang agama pula, penipuan dilakukan oleh mereka yang memanipulasi kelemahan jatidiri dan akidah pengikut untuk kepentingan diri, keluarga atau kumpulan.

Pengikut Kerajaan Langit, misalnya, sanggup minum air basuhan kaki ketua mereka Ayah Pin, kononnya kerana air itu suci. Boleh dikatakan semua ajaran sesat mempunyai unsur penipuan. Ramai profesional seperti peguam dan doktor, serta artis dan pegawai tinggi kerajaan menjadi ahli pergerakan Al-Arqam pimpinan Ashaari Muhammad, yang mendakwa boleh bercakap terus dengan Nabi Muhammad SAW.

Penyanyi terkenal 1980-an, Sahara Yaacob, pernah berkata beliau menyertai kumpulan ini kerana insaf kekurangan ilmu agama pada dirinya dan mahu menjadikan Al-Arqam sebagai jalan singkat ke syurga. Oleh kerana terlalu taksub dan yakin akan kebenaran mereka, Ashaari Muhammad menganjurkan majlis solat hajat dan doa muhaballah besar-besaran, termasuk menjemput wartawan, pada 30 Jun 1994.

Beliau mohon ALLAH SWT memberi petunjuk dan bukti kebenaran mereka dalam tempoh tiga bulan. Dengan kuasa ILAHI, pergerakan ini diisytiharkan haram oleh kerajaan Malaysia pada Ogos 1994 dan Ashaari sendiri mengalami penyakit tidak boleh bercakap.

Peguam Zahari Mohamed dalam bukunya Tersungkur di Pintu Syurga melahirkan penyesalan atas ‘kerja gila’ sepanjang menjadi ahli Al-Arqam dan kerana tertipu dengan pemimpin agama palsu.

Bagaimana pula dengan penipuan politik? Memang banyak. Antara yang akan tercatat dalam sejarah negara ialah janji palsu mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Sudah berpuluh tahun hal ini dipercakapkan, namun apabila memenangi Kelantan pada 1990 (dan selepas itu Terengganu), Pas masih gagal melaksanakannya.

Pelbagai alasan diberikan dan menuding jari terhadap pihak lain, khususnya Umno, sebagai punca hukum hudud tidak dapat dilaksanakan. Hakikatnya, hudud adalah modal pilihan raya semata-mata. Untuk Pilihan Raya Umum Ke-13, isu hudud diputar semula. Cuma kali ini, pengundi mungkin tidak begitu mempercayai Pas lagi.

Penipuan politik terbesar dalam sejarah Malaysia ialah pengisytiharan pemimpin pembangkang yang obses menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu bahawa sehingga 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional akan berpaling tadah, justeru memberi peluang kepadanya memperolehi majoriti di Parlimen dan menguasai Putrajaya.

Kononnya, beliau disokong Panglima Angkatan Tentera Malaysia, malah Yang di-Pertuan Agong juga menunggu menyempurnakan upacara mengangkat sumpah peralihan kuasa di peringkat pusat. Terbukti beliau membohongi seluruh rakyat Malaysia. Ini namanya menipu hidup-hidup. Saya percaya rakyat Malaysia tentunya tidak mahu tertipu lagi.

Kita diingatkan ALLAH SWT: Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itulah orang-orang pendusta (16:105). ALLAH SWT juga memberi amaran: Dan siapa diantara mereka yang mengambil bahagian terbesar dengan penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. (24:11)-Dr Mashitah Ibrahim

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates