Sabtu, 28 April 2012

Apa Selepas Demonstrasi BERSIH?: Pengajaran Dari Mesir


Manusia belajar dari kesilapan.  Malangnya memperbaiki kesilapan tidak selalunya mudah dan adakalanya ia tidak dapat diperbaiki lagi.  Kesilapan pula sering dibayangi dosa dan adakalanya dosa tersebut mungkin dapat diampunkan dan mungkin juga tidak.  Di kala itu, yang tinggal hanyalah penyesalan.  Maka hiduplah kita dalam keadaan tidak keruan akibat kesilapan yang dibuat.  

Mungkin ada yang melihat bahawa soal kesilapan memilih kerajaan sebagai soal remeh kerana ia boleh diperbetulkan dalam masa 5 tahun lagi.  

Atau mungkin juga kita tidak sedar yang kita telah berbuat silap malah begitu yakin yang kita benar dan cukup arif membuat pilihan.  Kerana itu, banyak negara-negara di dunia mengalami kehancuran akibat kesilapan rakyat memilih kerajaan.   

Untuk pengetahuan semua, soal memilih kerajaan sebenarnya bukan seratus peratus terpulang kepada rakyat negara tersebut.  Ini kerana mengikut pendedahan bekas pegawai CIA, Phil Agee, CIA telah lama terlibat dalam menggulingkan kerajaan yang sah di seluruh dunia untuk digantikan dengan pemimpin boneka pilihan Amerika.  Ini telah dilakukan sejak berdekad-dekad dahulu.   Dalam bukunya, beliau menyebut antara negara yang beliau sendiri terlibat dalam menggerakkan pemberontakan dan penggulingan kuasa ialah Chile, Brazil, Albania, Filipina, Panama dan banyak lagi.  
Kita faham bahawa apa yang berlaku di Mesir, Tunisia, Iraq, Libya dan beberapa lagi negara akhir-akhir ini adalah juga kerja CIA.   Dan inilah yang kita cuba fahamkan kepada rakyat Malaysia iaitu tentang betapa membuat keputusan yang bijak dalam pilihanraya adalah penting, kerana ia bukan sahaja melibatkan soal pembangunan dan polisi dalam negara tetapi juga kedaulatan, kemerdekaan malah kehidupan seharian kita.  

Penulis enggan menyentuh lebih jauh tentang Modus Operandi CIA kerana ia boleh dibaca sendiri dalam buku Phil Agee, Inside the Company: CIA Diary.  Apa yang penting untuk kita renungkan ialah apakah yang berlaku selepas sesuatu pemberontakan, huru-hara atau selepas kerajaan yang sah digulingkan bukan melalui pilihanraya? 

Kita ambil contoh apa yang terjadi di Mesir selepas protes besar-besaran pada 25 Januari 2011 yang ‘berjangkit’ dari Tunisia.  Protes bertukar menjadi rusuhan dalam sekelip mata dan kemudiannya, keganasan.  Seperti yang kita sedia maklum, ketika Mesir sedang kecoh, Amerika Syarikat pantas menghulurkan sokongan dan bantuan kepada pihak pemberontak sehingga akhirnya Presiden Hosni Mubarak melepaskan jawatannya, sekali gus, membuktikan pendedahan Phil Agee.  

Semua ini berlaku selama 18 hari sebelum membawa kepada kehancuran Mesir yang belum tentu pengakhirannya.   

Apakah kemenangan pihak pemberontak membawa kepada Mesir yang lebih baik?  TIDAK!!!

Hari ini, Mesir terpaksa menapak membangunkan kembali negara mereka dari bawah.  Kini, rakyat yang bersungguh-sungguh ingin menggulingkan kerajaan mula tertanya-tanya apakah mereka telah berbuat kesilapan?  
Pemberontakan membawa kepada lumpuhnya ekonomi dan pentadbiran di Mesir menyebabkan rakyat termasuk pemberontak terpaksa berhadapan dengan keadaan di mana kemudahan asas juga sukar untuk didapati.  Bangunan-bangunan yang menempatkan pejabat, kedai dan pusat perkhidmatan runtuh, terbakar dan musnah.  Ramai yang kehilangan kerja dan makanan juga sukar didapati.  Pemberontak dan rakyat yang lapar mula menceroboh dan mencuri bagi menyambung kehidupan.  

Keadaan ini berlanjutan sehingga beberapa lama.    

Pada 25 Januari 2012 yang lalu iaitu ulangtahun pemberontakan menyaksikan keresahan rakyat yang memuncak akibat pergolakan politik, pemerintahan tentera serta kebangkitan parti-parti Islam.   Walaupun telah setahun berlalu, kehidupan rakyat termasuk para pemberontak belum pulih seperti sediakala malah lebih teruk dari sebelumnya.  

Dengan lumpuhnya prasarana dan struktur sosial, Mesir mengalami krisis ekonomi yang amat buruk.  Pemerintahan tentera dan kebangkitan parti-parti Islam kini meletakkan negara dalam keadaan sukar yang menjurus kepada penurunan nilai matawang dan hutang negara meningkat.  Kerajaan Mesir kini terpaksa membelanjakan sehingga USD2 billion sebulan bagi mengimbangi kejatuhan nilai tersebut sedangkan rizab matawang asing pula hanya tinggal USD10 billion daripada USD36 billion sebelum penggulingan kerajaan.   Pelaburan asing juga terhenti terus dan jumlah pelancong menurun secara drastik.  

Akibatnya, subsidi terpaksa ditarik balik dan harga makanan dan kemudahan asas di Mesir menjulang tinggi sehingga dua kali ganda. Penarikan subsidi juga pastinya menjejaskan harga minyak sekali gus semua harga barangan lain.  

Sikap rakyat Mesir terhadap subsidi sebelum ini adalah tidak jauh dari sikap rakyat Malaysia iaitu merasakan bahawa itu adalah kewajiban kerajaan atau menjadi hak mereka sejak lahir, tanpa mengambil kira keadaan ekonomi negara dan dunia.  Penarikan subsidi ini tentunya menambahkan kemarahan rakyat, cuma kini mereka mungkin tidak tahu lagi kepada siapa kemarahan tersebut harus ditujukan.  

Perkembangan terbaru,, kerajaan telah menjual saham di beberapa bank dengan harga yang rendah dari nilai sepatutnya.  Hari ini, rakyat Mesir tidak berani menyimpan wang mereka di dalam bank kerana bimbang apa yang akan berlaku di masa depan.  

Keadaan menjadi lebih teruk dengan kadar pengangguran kini berada di tahap 12 – 24 peratus berdasarkan angka rasmi dan tidak rasmi.  Sedangkan sebelum ini, kadar pengangguran berada di tahap 9 – 12 peratus yang mana menjadi faktor utama pemberontakan bermula.  Ini adalah tanda jelas bahawa keadaan adalah jauh lebih teruk dari sebelumnya. 

Kemelut pemilihan Presiden juga tidak membantu Mesir sebaliknya menambahkan kemarahan, keresahan dan kesusahan rakyat.  Justeru, bagi melepaskan kemarahan, pemberontakan berterusan setiap minggu walaupun pemberontak telah berjaya menggulingkan kerajaan sebelumnya.  

Pada 20 April lepas, beribu-ribu rakyat berhimpun lagi kerana mencurigai peralihan kuasa yang bakal berlaku bulan depan.  

Jika dulu pemberontak memberontak terhadap pemerintah kerana merasakan hidup mereka susah, tetapi hari ini hidup mereka jauh lebih susah.  Jika dulu rakyat secara puratanya membelanjakan USD300 untuk sebuah majlis perkahwinan, tetapi kini mereka hanya mampu membelanjakan sekitar USD100.  Jika dulu, pihak pengantin lelaki menghadiahkan emas tetapi kini tidak lagi.  Kini mereka terpaksa berlapar dan berebut untuk makan.  Mereka terpaksa menerima hakikat bahawa minyak adalah satu bentuk kemewahan.  

Semua ini adalah kesan langsung dari pemberontakan dan penggulingan kerajaan secara demonstrasi ganas yang dibakar oleh semangat kebencian dan sifat tidak tahu bersyukur.   Maka benarlah bahawa sesuatu perjuangan yang digerakkan oleh rasa benci dan marah adalah perjuangan yang diilhamkan oleh iblis.  

Semoga rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan bisikan iblis dan belajar menghargai segala nikmat keamanan, keselesaan dan kesenangan yang dimiliki hari ini.  Sebelum kita memBERSIHkan segala apa yang lain, eloklah kita BERSIHkan dulu hati nurani dan fikiran sendiri.  

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates