Rabu, 2 Mei 2012

JANGAN SILAP SANGKA..KEDAHTIMES BUKAN SAYA YANG PUNYA...


Sobri Sudin

1. Sudah agak lama saya tidak menyumbang artikel kepada Kedah Times, hampir 6 purnama lamanya. Jengukan saya ke blog-blog juga sudah agak berkurang, kerana saya melihat, blog  kian hilang idealismenya (meski begitu masih banyak blog yang bagus, konstruktif dan berprinsip serta menukilkan isu membina). Sepatutnya blog bukan semata-mata menukilkan kisah politik 'per se' dalam ruang lingkup sentimen. Blog juga tidak seharusnya dimonopoli dengan elemen mengata engkau, mengkritik itu dan ini, melondeh kisah aib peribadi, Blog hakikatnya jika dimanfaatkan dengan dimensi yang lebih luas, akan menjadi lebih signifikan sifatnya.



2. Sebagai orang yang terdidik dengan ilmu sains politik, saya fahami pseudo-budaya dan saiko-politik masyarakat Melayu dan Malaysia amnya. Justeru jelas, elemen feudalisme, berita sensasi, kontroversi, cerita dalam kelambu, kritikan peribadi lebih digemari berbanding 'policy debate dan penataraan isu semasa yang melibatkan kemaslahathan ummah'.

3. Barangkali sistem parti, taksub pada kelompok telah menjadikan kita bersikap begitu. Kita merasa kita lebih Islam, lebih demokratik, lebih kritis, lebih hebat, lebih bijak dan lebih segala-galanya dari orang lain. Pendekatan kita lantas menjadi terlalu bersifat menghukum daripada bersifat menjernih keadaan ataupun mencari jalan keluar bersama bagi masalah dihadapi.

4. Benarlah, Melayu bila berpolitik, 'yang menang jadi arang yang kalah jadi abu'. Tidak seperti kaum Tionghua, berbeda parti, tapi faham commune mereka cukup tinggi. Yang penting akhirnya keuntungan pada commune mereka tetap terjaga, sama ada isu berkenaan dibawa oleh DAP, GERAKAN, ataupun MCA dan PKR yang turut menjadi nasi tambahnya. Politik kaum Tionghua mereka berstrategi, bijak, MELAYU dijadikan alat, mereka bertepuk tangan melihat Melayu bercakaran. Dan tidaklah mustahil ingatan cerita sinikal Melayu lama, LEBAI MALANG, SILUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA, PAK PANDIR, MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI adalah manifestasi sikap Melayu totok yang terwaris sehingga kini.
5. Baiklah tujuan saya menulis kali ini bukanlah mahu menghurai sistem atau budaya amalan politik di Malaysia, cuma sekadar mahu memaklumkan bahawa dengan lafaz WALLAH HI WABILLAHI, WATTALLAH HI, blog KEDAH TIMES bukan saya yang empunya. Ini hakikat dan kebenarannya, dan saya tidak pun beroleh apa-apa jika membohongi anda.

6. Dan tidak perlulah para pengkomentar bergaduh, berpolemik(sama ada memuji atau mengeji) dengan menukilkan nama saya walhal saya hanya salah seorang penyumbang artikel, dan Kedah times bukan semata-mata satu-satunya blog yang saya seringkali menitipkan artikel saya, sebaliknya banyak blog-blog lain sama ada saya sedar ataupun tidak banyak mengambil dan kadangkalanya 'mencilok' artikel-artikel saya. Dan suka juga saya maklumkan bahawa dalam setiap artikel yang saya tulis, saya tidak pernah menggunakan nama pena selain dari nama sebenar saya yang telah tercatit dalam kad pengenalan saya serta yang diberi oleh arwah ayah saya.. Maka di mana-mana sekalipun tetaplah nama pena yang saya gunakan adalah nama saya sendiri. 

7. Bagi yang sudah terbiasa dengan lenggok, laras bahasa, turutan penceritaan, susunan pengkisahan, maka mereka dapat mengenali penulisan saya. Bukannya apa, wujud juga dalam blog-blog tertentu pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama saya bila menulis.. Pada saya itu tidak betul sebab kita harus bertanggungjawab terhadap apa yang kita tuliskan. Kita tidak perlu memperalatkan nama orang lain ataupun berselindung di sebalik nama tertentu jika kita berani pada paksi kebenaran dalam penulisan kita.

8. Sekali lagi sukalah saya menzahirkan bahawa saya bukanlah 'taukeh' Kedah Times, saya tidaklah mendapat apa-apa manfaat ataupun balasan material, wang ringgit dari Kedah Times atau mana-mana pun jua pimpinan politik hasil dari sumbangan artikel saya untuk Kedah Times. Jika benar saya memperolehnya saya tidak ralat untuk sedekahkan semuanya pada yang memerlukan. Saya punyai prinsip sendiri dalam dunia penulisan, dan telahan bahawa Kedah times saya yang usahakan dengan menghimpunkan guru dan askar pencen untuk bernaung dibawah saya tentulah satu tanggapan meleset. Persepsi yang meremehkan sama sekali usaha pemilik sebenar Kedah Times dan penyumbang lainnya sama ada, mereka itu guru, pemimpin politik, askar pencen, golongan profesional ataupun teknokrat yang seringkali tidak jemu-jemu memakmurkan Kedah Times dengan artikel, idea dan pandangan bernas mereka.

9. Malah jauh dari itu saya tidak pernah pun berjumpa, mengenali pengendali atau orang dibelakang tabir Kedah Times. Bagi saya yang penting ruang sedia ada saya manfaatkan untuk menyalurkan idea, penulisan, buah fikiran dan idealisme saya. Kerana penulisan adalah minat hakiki saya..

10. Diharap penjelasan ini dapat mengendurkan keadaan, saya tidak boleh memaksa anda untuk percaya ataupun tidak, terpulang kepada penilaian anda.. Saya harus tampil memaklumkan perkara ini kerana saya tidak mahu 'kerja keras dan kerja kreatif orang lain saya yang mendapat namanya'. Mudah-mudahan dengan penjelasan ini, tuan-tuan semua akan lebih pro-aktif agar blog tidaklah dijadikan wahana semata-mata untuk menghentam sesama kita sebaliknya dijadikan ruang untuk satu perdebatan yang sihat. Mudah-mudahan nasib kita semua dalam sebuah negara bangsa bernama Malaysia dan di negeri Kedah khususnya akan menjadi lebih baik dan terbela.

Terima kasih dan Salam untuk semua.

2 comments:

CheNed berkata...

KT diserang bagi mengurangkan serangan terhadap pihak lawan. Walaupun mungkin ianya tidak berkebetulan.

Yang lain dijolok yang lain menerkam jelas menunjukkan sikap prasangka Melayu semakin menjadi-jadi selepas sudah terlalu selesa sehingga Kedah menang pada PAS.

Yang ruginya mereka yang meberi komen menghentam personaliti yang bersangkut umum dengan kreadibiliti.

Perlabelan murah perlambangan minda.

Hendak diminta hentikan perbalahan seperti mengatakan sila sila silalah bergaduh lagi. Hendak diteruskan hentaman seolah mengundang kebodohan yang berterusan.

KT perlu akui bahawa selepas ini akan banyak blog yang akan diwujudkan atas nama Kami Menyokong Ketua Bahagian kami sehingga ketitisan darah yang terakhir.

KT juga perlu akui bahawa banyak blog yang sudah hilang nilai perjaungan kerana isi yang dipaksa ditulis kerana berbayar.

Pembaca yang berlainan parti mungkin berharap KT akan berubah arah menolak UMNO dan menyokong parti lain jika terus-terusan dihentam sesama parti.

Yang pastinya, hanya orang yang salah sahaja akan menyalak kuat sebelum kena tengalung.

Nayan berkata...

Setuju dgn CheNed.

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates