Selasa, 19 Jun 2012

Hak Pemerintah Untuk Ditaati


Ketika satu demi satu negara Islam di dunia semakin lemah atau hancur dek kerana rakyatnya telah tersilap pertimbangan akibat terlalu mengikut emosi sehingga termakan hasutan musuh, Malaysia masih berdiri teguh dan bertahan dari mengikut jejak langkah mereka. 
Memetik kisah yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought & Civilization (ISTAC), UIAM,  pembentang kertaskerja ke 7; ketika beliau berbual dengan seorang Ulama dari Turki, Dr. Ramadhan, kalau tak silap penulis, telah berkata bahawa “Malaysia adalah negara yang dijadikan seperti neraka – iaitu dengan terlalu berbilang kaum dan agama seolah-olah ditakdirkan untuk sentiasa berada dalam kacau-bilau, tetapi pemimpin Malaysia berjaya menjadikannya sebuah syurga,”  - iaitu makmur dan aman.  

Hakikat ini, telah terlebih dahulu ditegaskan oleh hampir semua pembentang kertaskerja sebelumnya yang mengiktiraf Malaysia sebagai Negara Islam yang dilimpahi nikmat Allah S.W.T.   Malah pembentang ke 3, iaitu Dr. Hamed Mohamed Abdel Rahman, Mantan Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Azhar Mesir juga menyatakan nama beberapa tokoh ilmuan Islam, antaranya, Dr. Hamza Hassan dan beberapa nama lagi yang penulis tidak sempat catitkan, yang semuanya mengangkat Malaysia sebagai negara yang mampu menjadi peneraju semua negara Islam di dunia.  
 
Keamanan dan kemakmuran adalah nikmat nyata yang tidak harus dinafikan.  Sikap umat yang kufur nikmat mampu mengundang bala kepada negara.  Tidak ada sesiapa yang lebih layak menilai nikmat yang dikecapi oleh umat Islam di Malaysia melainkan para Ulama tersohor dari Negara-negara Arab yang telah menyaksikan kemusnahan di negara mereka.  

Sesungguhnya, pekerjaan, makanan, kemudahan, keselesaan, keamanan, kesejahteraan, kegembiraan yang kita lalui dalam kehidupan adalah nikmat dan menafikan hakikat ini, adalah sifat orang-orang yang kufur.  

Tidak mungkin rakyat akan mampu merasai segala nikmat ini sekiranya pemimpin kita bukan seorang yang layak iaitu adil, cekap, bijak dan prihatin.  Yakinlah bahawa sekiranya pemimpin yang ada bukanlah seorang yang layak berada di tempatnya, maka negara ini sudah pasti hancur melihat dari keadaan lanskapnya yang begitu rapuh iaitu berbilang bangsa, agama dan budaya. 
Jika kita meletakkan sesuatu di tempat yang tidak layak untuknya, maka tunggulah saat kehancurannya.  

Berdasarkan fakta ini, semua Ulama yang membentangkan kertaskerja sepakat bahawa pemimpin yang sedemikian wajib ditaati.  

Pembentang pertama, iaitu Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour, Mantan Timbalan Syeikhul Azhar, Mesir juga menyatakan bahawa bukan hanya rakyat yang mempunyai hak, tetapi pemimpin juga mempunyai haknya.  Antara hak pemimpin ialah untuk ditaati dan dihormati.  Jika tidak, negara mampu menjadi huru-hara dan tidak akan maju ke hadapan.  Lalu, rakyat juga yang akan susah dan menderita.  

Justeru, mentaati pemimpin adalah wajib menurut Islam.  Selagi pemimpin tersebut menunaikan solat dan tidak menyuruh kepada kemungkaran.  
“Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujjah (alasan)”. (Hadis Riwayat Muslim. Kitabul Imarah, syarah Nawawi 12/240)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknnya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala)”. (Majmu’ al-Fatawa. 35/16-17. Ibnu Taimiyah)

Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengajar umatnya agar sentiasa memuliakan penguasa, pemerintah atau pemimpin. Baginda bersabda:

“Barangsiapa yang memuliakan penguasa (kerana) Allah (di atas bumi), maka Allah akan memuliakannya pada Hari Kiamat”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Asim dalam as-Sunnah. Hlm. 275).

Umat yang tidak mentaati pemimpin pastinya akan berpecah belah.  Umat yang berpecah belah pastinya lemah di mana musuh akan mudah menghancurkan mereka. Lebih buruk lagi, mereka juga akan menghancurkan sesama sendiri dengan kebencian yang meluap-luap, hasad dengki, iri hati dan dendam kesumat yang tidak berasas sama sekali.  Untuk menghancurkan sesama sendiri pula mereka akan menyebarkan fitnah, mencaci dan menipu orang ramai bagi mencapai matlamat mereka.  

Kehancuran sesebuah negara hampir semuanya berpunca dari tindakan sebahagian rakyat yang menentang pemimpin atau keluar dari jemaah.  

Dalam bahasa mudahnya, apa yang boleh disimpulkan dari isu ‘taat kepada pemimpin’ yang dibentangkan oleh para Ulama di dalam program tersebut ialah:  Pemimpin Malaysia hari ini adalah orang Islam, yang syahadahnya masih kukuh, solatnya juga terjaga.  Beliau juga tidak pernah menyuruh sesiapa berbuat maksiat atau melakukan kemungkaran.  Jika beliau punya kelemahan dan jika beliau ada melakukan dosa itu adalah soal dirinya dengan Allah S.W.T.  Selagi beliau mampu mentadbir negara dengan baik sehingga penduduknya aman damai, makmur dan mampu menyediakan kemudahan asas terutamanya pendidikan, maka menentang beliau adalah satu tindakan yang bertentangan dengan tuntutan Islam.  

Dengan berkat doa para Ulama tersohor dunia, harapan kita agar Umat Islam di Malaysia kembali bersatu dan menolak seruan golongan Ulama jahat akhir zaman yang ingin kita semua terus berpecah belah demi kepentingan diri dan politik kepartian.  

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates