Khamis, 19 Julai 2012

Empat tahun mentadbir lebih banyak rumah urut didirikan berbanding masjid


Pilihan raya umum akan datang bukan saja memerlukan parti politik memilih calon boleh menang yang popular tetapi juga mereka yang sesuai dan berkemampuan untuk memegang jawatan tertentu.

Tugas wakil rakyat bukan untuk glamor sebagai ‘Yang Berhormat’ atau YB semata-mata tetapi jauh lebih berat daripada itu. Untuk menjadi pemimpin bertanggungjawab dan berwibawa tidak semudah disangka. Tugas memimpin amat berat dan andainya bakal calon tahu betapa sukarnya tugas sebagai wakil rakyat, tentu dari awal lagi ada yang menarik diri. 
   
Atas sebab itulah, ada sebilangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti pembangkang dijangka menghadapi tentangan sukar pada pilihan raya akan datang ini kerana selama lebih empat tahun, mereka tidak memainkan peranan berkesan selaku wakil rakyat.

Rakyat sentiasa memerhati gerak geri mereka. Tugas yang mereka laksanakan itu adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka. Sebagai contoh, negeri Kedah di bawah teraju kepemimpinan PAS tidak menunjukkan perkembangan positif sejak parti itu menguasai kerajaan negeri empat tahun lalu. 

“Kalau adapun, orang Kedah kata mereka hanya gostan,” kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Maha-thir pada pertemuan minggu lalu. 

Tambahnya, dari segi ekonomi, Kedah tidak ke mana pun dalam tempoh empat tahun lalu. Beberapa projek baru yang diumumkan pada awal pentadbiran PAS juga tidak menjadi. 

Jika adapun pembangunan di Kedah adalah hasil usaha kerajaan Persekutuan. 

“Masjid, surau dibina kerajaan Persekutuan. Di kawasan saya sendiri pun surau baru dibina dan surau lama dibaiki. Ada peruntukan yang datang daripada kerajaan Persekutuan dan sumbangan ikhlas daripada tokoh korporat sebagai amal jariah,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Sebaliknya, Kedah di bawah pembangkang pula berura-ura merobohkan Madrasah Salihiah di Kanchut, Alor Setar yang berusia lebih 100 tahun, atas nama pembangunan.

Yang terbaru katanya, beliau dengar ada jirat Cina komersial yang akan dibina di atas tanah rizab Melayu di Padang Serai dan projek ini sudah diluluskan oleh kerajaan PAS Kedah. Projek itu menghadapi bantahan masyarakat setempat kerana ia diusahakan untuk tujuan lain selain kepentingan Melayu.

Di samping itu, satu lagi kegagalan kerajaan PAS Kedah ialah mengawal rumah urut yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, bukan saja di bandar besar seperti Alor Setar dan Sungai Petani tetapi juga di luar bandar. Apabila isu ini dibangkitkan, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak hanya memberi alasan rumah urut itu untuk masyarakat bukan Islam. 

“Saya tidak nampak dalam masa empat tahun, jumlah penduduk bukan Islam di Kedah meningkat mendadak sehingga memerlukan rumah urut yang kegiatannya bercambah di merata tempat.

“Kenyataan Menteri Besar itu satu penghinaan kepada bukan Islam seolah-olah mereka sentiasa terbabit dengan kegiatan tidak bermoral,” kata Mukhriz. 

Di Selangor juga timbul isu mengenai percambahan pusat maksiat dan antara orang yang membuat bantahan ialah Dr Clara Chew, pemilik syarikat kosmetik terkenal. Beliau membuat laporan polis bagi membantah pembukaan pusat urut berdekatan kawasan kediaman dan tumbuh begitu banyak sekali. Ia membuktikan bukan Islam juga risau hal ini. 

Kedah adalah contoh kegagalan kerajaan pimpinan parti PAS. 

Tanggungjawab untuk merampas kembali negeri berkenaan kini terletak di atas bahu Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan dibantu Mukhriz selaku timbalannya.

Justeru, pemilihan calon pilihan raya, akan ada lebih daripada seorang calon boleh menang. Penentuan harus dibuat berdasarkan siapa yang berkemampuan memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Pertimbangan juga hendaklah diberikan kepada mereka yang layak memegang portfolio dalam kerajaan seperti EXCO kemudahan awam, ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan lain-lain. Semua ini perlu diambil kira ketika memilih calon yang dianggap sebagai winnable.

Rencana BH

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates