Rabu, 17 Oktober 2012

Kerjasama Dengan DAP - PAS Untung, Islam Rugi


Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya kepada media pada 13 Oktober 2012 yang lalu mengakui hasil bersekedudukan dengan DAP telah memberi pelbagai keuntungan kepada PAS, antaranya termasuklah membolehkan PAS menguasai Perak.


Beliau juga mengesahkan kejayaan PAS menawan Kedah dan Kelantan dalam PRU 12 yang lepas adalah berkat adanya kerjasama politik dengan DAP. Kelihatannya seperti Hadi memperakui tanpa bantuan DAP, PAS tidak mungkin menawan Kedah dan sukar untuk mengekalkan Kelantan.

Jelas dari kenyataannya itu, Hadi memperakui hasil kerjasama dengan DAP hanya menguntungkan PAS dan tidak pula beliau menyatakan bahawa hasil kerjasama songsang itu telah memberi manfaat pada Islam dan umatnya atau sebaliknya. 

Menguntungkan PAS tidak bermakna ia menguntungkan Islam. Bukan begitu? 

Memang benar kata Hadi bahawa hasil hubungan terlarang parti pimpinannya dengan DAP telah memberi nikmat keuntungan duniawi buat memuaskan hati dan mengisi tembolok pemimpin PAS.

Dari segi keuntungan diri sendiri, memang ramai pemimpin PAS yang memperolehi manfaat termasuklah secara tiba-tiba menjadi orang kaya baru serentak dengan perlantikan sebagai Yang Berhormat. 

Masing-masing berpeluang menyandang jawatan berprestij dalam agensi dan jabatan negeri dengan gaji yang lumayan dan berkali ganda lebih besar berbanding kerjaya sebelumnya.

Kereta MB dan exconya pula bertukar ganti dan rumah wakil rakyat pula berubah dari kecil menjadi sebesar-besarnya. Di masa yang sama ada juga yang berpeluang menikmati pendapatan tambahan melalui komisyen dari pelbagai projek dan tender kerajaan.

Namun dari segi manfaat untuk umat dan agama Islam itu sendiri, hakikatnya telah banyak yang tercabar, tercalar dan terjejas dek kerana PAS terlampau mendahulukan kuasa berbanding prinsip Islam.

Sejak 4 tahun lalu, para pemimpin DAP semakin berani mempertikaikan pelbagai hak dan keistimewaan orang Melayu dan agama Islam kerana yakin mereka telah berjaya menundukkan PAS tambahan pula dikalangan pemimpin PAS sendiri terlalu kerap tunduk patuh pada semua tuntutan DAP.


Gara-gara keterlanjuran PAS terlalu mahu menjaga hati pemimpin DAP, impaknya menyebabkan kalimah Allah s.w.t tercabar kesuciannya malah sengaja digadaikan oleh pemimpin PAS demi untuk memenuhi tuntutan DAP yang mahukan kalimah tersebut diguna sama oleh pendakwah kristian.


Laungan azan dan bacaan ayat suci Al-Quran sementara menanti masuknya waktu Subuh kini kian dipertikaikan oleh rakan sepakatan PAS, semuanya atas dasar hak asasi manusia manakala di pihak PAS pula tanpa berselindung terus saja tunduk memperlahankan laungan azan dan bacaan Al-Quran.

Manakala itu, tradisi perarakan Maulidur Rasul yang sudah berpuluh tahun tidak pernah dicuit atau dipertikaikan, tiba-tiba sahaja dipersoalkan oleh rakan sekedudukannya kemudian tak semena-mena dibatalkan tanpa sedikitpun dipertahankan oleh pemimpin PAS. 

Pendakwah Kristian dan pemimpin politik Cina DAP juga semakin berani mendekati orang Melayu Islam sambil menawarkan bantuan kebajikan sambil menerap nila-nilai Kristianiti, kesannya masalah murtad yang suatu ketika dulu pernah menjadi musuh utama PAS kini bagai dipandang sepi saja.


Tidak cukup dengan cabaran-cabaran sedemikian, PAS juga gagal ke depan mempertahankan dasar dan polisinya berkaitan hukum hudud dan negara Islam. Demi kerana DAP, kedua-duanya tak mampu disenaraikan dalam buku jingga malah dalam bajet 2013 pakatan pembangkang juga perihal agama Islam bagaikan tercampak ke tepi.


Jika beberapa senario di atas masih dianggap oleh Hadi amat menguntungkan PAS, benarlah kata-kata itu kerana ia memang menguntungkan PAS dari segi untuk kepentingan diri pemimpinnya, namun di masa yang sama hakikatnya Islam dan umatnya sejak 4 tahun lalu terus menerus mengalami kerugian. 

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates