Khamis, 6 Disember 2012

NAJIB PACU EKONOMI NEGARA, ANWAR MASIH BERANGAN

Melenting sungguh puak-puak pembangkang apabila Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim di belasah di pentas Perhimpunan Agung UMNO ke 66 yang baru sahaja selesai baru-baru ini.

Mungkin tidak senang dengan jolokan nama sesumpah politik atau 'political charmeleon' yang diberikan oleh Perdana Menteri, maka Anwar pun panas bontot dan tidak duduk senang.

Pertama beliau sanggup mengadakan sidang media untuk menafikan pembabitannya dengan Deepak Jaikishan, seorang peniaga karpet.


Pada saat Deepak menimbulkan dakwaan membabitkan seorang pemimpin Wanita dalam kes tanah menjelang Perhimpunan Agung UMNO, rakyat sudah bijak menghidu ia adalah hasil kerja tangan yang didalangi oleh Anwar.

Bak kata pepatah sudah terang bersuluh pula, kura-kura dalam perahu, berlakon pura-pura tidak tahu.

Begitulah sikap Anwar dan amat sesuai dan bertepatan sekali Datuk Seri Najib Tun Razak menganugerahkannya label sesumpah politik.

Kedua, apabila prestasinya dipertikaikan semasa menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun, cepat-cepat Anwar mengarah supaya dikitar semula kenyataan mempertahankan rekod beliau.

Dahulu bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Ming, yang kini menjadi Pengerusi PKR Johor pernah mengipas Anwar dengan mengatakan beliaulah Menteri Kewangan yang terbaik pernah berkhidmat dalam kerajaan dan kini balaci kesayangannya, Azmin Ali turut berkokok dalam nada yang sama.

Hikayat yang didendang sama sahaja di mana-mana ia diceritakan iaitu ekonomi negara menikmati belanjawan lebihan atau 'budget surplus' sepanjang Anwar menerajui Kementerian Kewangan.

Statistik rasmi yang dihidang oleh Azmin sebagai bukti memang tidak siapa boleh pertikaikan, persoalannya adakah Anwar sebenarnya individu yang bertanggungjawab terhadap pencapaian ekonomi negara dalam tempoh 1992 - 1997 atau wujud faktor lain yang lebih penting daripada itu?

Dari siapa Anwar mewarisi jawatan Menteri Kewangan jika tidak Tun Daim Zainuddin yang telah meletakkan Malaysia di atas landasan ekonomi yang kukuh sepanjang beliau menjawat posisi itu bermula tahun 1984 sehingga 1991.

Ketika Daim meletak jawatan, pelbagai pihak menyanjung tinggi sumbangan yang telah beliau berikan kepada negara.

Daim disebut antara arkitek terbaik yang telah berjaya mengemudi ekonomi negara dengan cemerlang sekali dalam empat tahun kemerosotan ekonomi.


Beliau telah memacu empat perubahan struktur ekonomi yang strategik dalam tempoh 1986-1991 iaitu mobilisasi sektor swasta, dasar perdagangan luar yang aktif, memperkukuhkan peranan sokongan sektor swasta serta pemulihan sektor perusahaan awam.

Sehingga ke hari ini, prinsip-prinsip pengukuhan ekonomi yang dilaksanakan oleh Daim terus disanjungi dan masih diguna pakai, termasuk oleh Anwar sendiri semasa menjadi Menteri Kewangan.

Justeru, kejayaan ekonomi negara yang dipuji-puji serata dunia hingga Malaysia di golong sebagai salah satu Harimau Ekonomi di sisi Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, dan Singapura bukanlah hasil kerja kuat Anwar tetapi disebabkan asas ekonomi yang sungguh jitu dan kukuh yang telah ditinggalkan oleh Daim.

Seperti seorang anak yang mewarisi harta yang menimbun dari ayahnya dan tidak perlu lagi kerja kuat seumur hidup, begitu juga Anwar tidak perlu buat apa-apa lagi bagi menguatkan landasan ekonomi negara.

Anwar setakat menumpang kejayaan yang ditempa oleh Daim selama lima tahun beliau menjadi Menteri Kewangan dan hanya menuai hasil daripada usaha tekun orang lain.

Tempoh selepas 1997 adalah tempoh perit bagi ekonomi negara disebabkan oleh serangan penyagak matawang, George Soros.

Setelah memecat Anwar, Dr Mahathir telah memperkenalkan sistem kawalan pertukaran pada 1 September 1998 yang akhirnya menyelamatkan ekonomi negara.

Langkah drastik lain yang dilaksanakan termasuk menamatkan dagangan saham-saham Malaysia di CLOB (Central Limit Order Book) di Singapura yang menjadi punca utama pasaran saham negara merudum akibat aktiviti jualan singkat.

Semasa Krisis Ekonomi 1997, siapa tidak tahu bagaimana Amwar cuba mengkhianati negara dengan usaha meletak Malaysia di bawah kawalan Tabung Kewangan Antarabangsa melalui kawan rapatnya, Michel Camdessus ang menjadi Pengarah Urusan IMF ketika itu.

Ketika Datuk Seri Najib mengambil alih teraju pentadbiran negara, Malaysia berdepan dengan krisis ekonomi global yang berpunca dengan kemelut kewangan yang teruk di Amerika Syarikat dan seterusnya berjangkit menjadi krisis buruk di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah.

Berpandukan visi dan perancangan yang jelas, Perdana Menteri tangkas memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM67 bilion.

Dalam masa 10 bulan sejak pakej rangsangan pertama diumumkan, hasil yang memuaskan telah dilihat di mana 90 peratus daripada projek yang dikenal pasti telah diberikan kontrak atau sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Tindakan pro-aktif ini telah memberi suntikan yang amat diperlukan bagi memastikan ekonomi negara terus berada pada landasan yang kukuh bagi faedah dan kesejahteraan.

Perdana Menteri kemudiannya telah melaksanakan program transformsi ekonomi dan pentadbiran kerajaan secara besar-besar bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2015.

Usaha gigih beliau bukan sahaja telah mentranformsi setiap sektor ekonomi dan sektor awam ke arah pencapaian yang luar biasa tetapi juga telah mendapat pengiktirafan serta pujian antarabangsa termasuk IMF.

Sementara Anwar masih diulit fantasi teringat-ingat ketika menjadi Menteri Kewangan, ekonomi negara sudah jauh maju di bawah kendali Datuk Seri Najib serta jauh meninggalkan Anwar dengan kenangan masa lampau dan mimpi siang harinya.

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates