Khamis, 7 Februari 2013

PENDIRIAN TERHADAP PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH” DAN KALIMAH “MUHAMMAD”



 1. PENDAHULUAN 

Tulisan ini dibuat bagi menyatakan pendirian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap penggunaan kalimah “Allah” dan kalimah “Muhammad” pada tempat yang tidak munasabah, di mana is jelas mempersenda dan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina. 


2. LATAR BELAKANG 

2.1. Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan tegas menyatakan pendirian bahawa tindakan pihak-pihak yang memanipulasi penggunaan kalimah khas dalam Islam iaitu “Allah”, “Muhammad” dan seumpamanya pada tempat yang tidak munasabah seperti pakaian atau kasut atau lain-lain perhiasan sebagai tindakan yang keterlaluan, tidak bertanggungjawab dan mempersenda agama Islam serta suatu bentuk penghinaan atau menyebabkan agama Islam dipandang hina. 

2.2. Tindakan meletakkan kalimah “Allah” di atas kasut atau kalimah “Muhammad” pada pakaian dan seumpamanya juga merupakan tindakan yang boleh menggugat keharmonian beragama. Sekalipun mungkin tindakan itu dilakukan secara tidak sengaja oleh pihak tertentu, namun semua pihak wajar mengambil berat aspek yang menyentuh sensitiviti agama Islam, justeru perlulah peka supaya perkara yang sama tidak berlaku di masa hadapan. 

3. PENJELASAN BERKAITAN PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH” DAN KALIMAH “MUHAMMAD” 

3.1 Merujuk kepada Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) No. 9 1995 menyatakan, “Mana-mana orang yang dengan 

perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain – 

(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; 
(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau 
(c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”. 

3.2 Merujuk kepada paparan Akhbar Sinar Harian bertarikh 08 April 2010 / 23 Rabiulakhir 1431H berkaitan kalimah “Allah” pada kasut sukan dan paparan laman sesawang pada Oktober 2010 berkaitan kalimah “Muhammad” pada pakaian yang diperagakan oleh wanita Bukan Islam di Majlis Islamic Fashion Festival, ingin ditegaskan bahawa penggunaan lakaran atau lukisan kalimah Allah dan Muhammad tersebut termasuk dalam perkara yang boleh menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina dan boleh didakwa di bawah Enakmen tersebut. 

3.3 Kalimah “Allah” dan kalimah “Muhammad” dalam Islam, melalui lafaz dua Kalimah Syahadah merupakan Rukun Islam yang pertama. Perakuan kepercayaan dan keimanan seseorang Islam terhadap Allah diekspresikan melalui kalimah “La Ilaha Illa Allah” yang bermaksud “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” dan “Muhammadur Rasulullah”, yang bermaksud Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah”. Ini menunjukkan, seseorang yang beragama Islam membuat perakuan ketuhanan mereka dengan memperakukan kewujudan satu Tuhan (Esa) yang dinamakan Allah, di atas penafian tuhan-tuhan yang lain dan memperakukan Muhammad sebagai rasul yang terakhir diutuskan untuk kerahmatan sekalian alam. Kenyataan ini jelas bahawa kalimah tersebut ekslusif kepada Islam dalam konteks penggunaannya dan tidak boleh dipermain-mainkan untuk tujuan yang boleh menyebabkan ianya dipandang rendah tanpa menafikan bahawa kalimah tersebut penting dari sudut manusiawi di mana Allah S.W.T. selayaknya yang menjadi Rabb kepada makhluk keseluruhannya dan Muhammad S.A.W. sebagai Rasul yang memberi Rahmat kesekalian alam.

3.4 Ini diperkukuhkan seperti dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga 1994, merujuk kepada kalimah “Allah” sebagai Tuhan (Yang Esa), merupakan perkataan khas untuk agama Islam dan orang Islam. 

4. KEPEKAAN ORANG ISLAM DAN ORANG BUKAN ISLAM TERHADAP SENSITIVITI ISLAM 

4.1 Adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk sentiasa menghayati kehidupan beragama terus subur dan makmur sebagai sistem cara hidup yang menjadi pilihan terbaik. Di samping itu, umat Islam sewajarnya menjadi mata dan telinga kepada agensi atau institusi Islam sebagai badan yang berautoriti menjaga hal ehwal Islam dan umatnya. Isu-isu Islam dan umatnya seharusnya dikemukakan kepada badan yang berautoriti secara langsung dan penuh tanggungjawab untuk mengelakkan sebarang prejudis dan persepsi yang buruk. 

4.2 Sebagai sebuah agensi yang menjaga hal ehwal umat Islam, Jabatan Agama Islam Selangor khususnya mempunyai bidang kuasa untuk memberi penerangan dan dakwah dari semasa ke semasa kepada umat Islam dan mengingatkan mereka supaya sentiasa berwaspada terhadap dakyah mahupun propaganda yang cuba memburukkan agama dan syiarnya. Tidak terkecuali kepada orang Bukan Islam yang berada di Negeri ini secara khususnya wajar untuk memahami segala isu yang menjadi sensitiviti agama Islam dan umatnya. Oleh itu, perlu ditegaskan adalah menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan kepada semua orang Islam untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah sama ada melalui tulisan, secara lisan dan melalui teladan yang baik. Kerana sesungguhnya kerja-kerja dakwah tidak boleh hanya dibebankan kepada Jabatan Agama Islam sahaja. Hakikatnya semua orang Islam bertanggungjawab melaksanakan usaha dakwah dengan apa cara sekalipun sehingga mengikut prinsip-prinsip yang digariskan. 
4.3 Kerajaan Malaysia sendiri pada 16 Mei 1986 telah melarang agama lain menggunakan kalimah ”Allah”, ”Solat”, ”Baitullah” dan ”Kaabah”, bermakna keputusan tersebut sewajarnya dikekalkan kerana perkataan tersebut adalah eksklusif bagi umat Islam. Dalam pada itu, ianya juga selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

4.4 Dalam satu sidang akhbar, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan bahawa perkataan “Allah” merupakan tunjang konsep ketuhanan dalam Islam, melalui lafaz syahadah yang merupakan Rukun Islam yang pertama. 

4.5 Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 4/2010 Pada 2 November 2010 juga memutuskan bahawa : 

a) haram hukumnya menggunakan kalimah Muhammad pada pakaian yang diperagakan oleh wanita yang bukan Islam pada Majlis Islamic Fashion Festival; dan

b) mana-mana orang Islam adalah dilarang sama sekali menganjurkan festival seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah dihukumkan mempersenda-sendakan kalimah suci Muhammad. 
5. PEMATUHAN 

Sebagai sebuah agensi Islam yang mengawal hal ehwal Islam dan menjaga kemaslahatan umat Islam di Negeri Selangor, JAIS menggesa supaya : 

5.1 Umat Islam sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan dan mengambil pengajaran dengan merujuk terlebih dahulu kepada badan yang lebih berautoriti atas apa juga perbuatan atau perkataan yang dijangka akan memberi impak tidak baik kepada Islam dan umat Islam. 

5.2 Masyarakat umumnya perlu peka terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama bagi memastikan keharmonian hidup yang berlandaskan Syariat (perundangan Islam) dipelihara. Mereka wajar mengemukakan aduan atau meminta penjelasan kepada JAIS dan perlu tampil dengan penuh bertanggungjawab memaklumkan secara tepat dan lengkap maklumat aduan (seperti maklumat lengkap pengadu, alamat lokasi, telefon dan lain-lain yang berkaitan). 

5.3 Media massa melalui medium cetak, elektronik mahupun rangkaian maya wajar tidak sewenang-wenangnya dijadikan mekanisme bebas atau medan untuk menyiarkan sebarang paparan yang boleh menjatuhkan imej umat Islam dan maruah agama Islam, yang mana agama Islam dijamin oleh Perlembagaan sebagai Agama Persekutuan. 

Disediakan oleh : Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor 31 Januari 2011 / 26 Safar 1432H 




0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates