Khamis, 21 Februari 2013

Staf KUIN Ejen UMNO?

 Nampaknya isu KUIN dengan stafnya semakin panas. MB yang juga orang nombor satu KUIN sudah semakin panas.

MB telah menuduh yang mereka yang menuntut pelbagai tutntutan ini sebagai ejen UMNO walhal kita semua tahu satu masa dulu KUIN dipenuhi ejen PAS yang senang lenang menerima gaji dari Kerajaan pimpinan UMNO.





19 FEBRUARI 2013 (SELASA)
PEJABAT YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR KEDAH DARULAMAN

MUQADDIMAH

Kami SELURUH kakitangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sangat kesal di atas dakwaan  YAB Menteri Besar Kedah bahawa kakitangan KUIN yang memperjuangkan hak dan kebajikan kakitangan sebagai ejen UMNO tanpa sebarang bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan melulu beliau.  Ketika Negeri Kedah di bawah pentadbiran Kerajaan BN, KUIN didakwa sebagai lubuk PAS sehingga mengakibatkan pentadbiran negeri menjadi milik PAS melalui PRU12-2008. 

Apakah alasan yang membuktikan bahawa kakitangan KUIN adalah ejen UMNO?  Seorang muslim mukmin adalah berdosa menuduh tanpa bukti.  

Sepatutnya sebagai seorang Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN, mengambil pendekatan bersikap terbuka dan berlapang dada dengan menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan KUIN sehingga menimbulkan keadaan yang sangat kritikal sekarang. 

Sebagai seorang yang berkuasa di Negeri Kedah, Menteri Besar hendaklah  bersikap adil bagi memastikan pentadbiran yang berslogankan “Negara Berkebajikan, Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua “ dilaksanakan dengan secara menyeluruh supaya tiada rakyat yang teraniaya disebabkan Kerajaan Negeri terlepas pandang.

Menteri Besar tidak sepatutnya mengamalkan dasar menutup pintu dengan tuduhan melulu tanpa berlapang dada untuk mendengar rintihan kakitangan yang mendakwa dianiayai dan dinafikan kebajikan sehingga masalah dalaman KUIN terus menimbulkan kerumitan. 

YAB sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan media bahawa YAB Dato Seri enggan ambil tahu isu KUIN bagi mendengar serta menyelesaikan perkara ini sehingga menyebabkan kehidupan kami sekalian menjadi sukar dan menyulitkan.

Jika beginilah sikap yang ditunjuk oleh seorang pemimpin, di mana lagi kami sebagai rakyat Kedah boleh mengadu?  Tiada seorangpun pemimpin Kerajaan Negeri Kedah tampil membantu mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang kami hadapi disebabkan kedangkalan ilmu pengurusan pentadbiran seorang Rektor yang menjadi kesayangan Menteri Besar.   Hatta EXCO Pendidikan pun mengambil sikap tidak peduli serta seringkali memberi kenyataan akhbar yang tidak tepat dan tidak berasas.

Nampaknya Menteri Besar tidak kenal sepenuhnya peribadi Rektor KUIN yang ternyata dengan jelas gagal mengurustadbir dengan cekap dan amanah mengakibatkan KUIN sedang menghadapi masalah kewangan yang sangat kritikal lantas sebahagian besar kakitangan KUIN hilang kepercayaan kepada beliau. 

Rektor telah gagal meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang merupakan ‘core business’ setiap IPT sehingga menyebabkan graduan tidak berdaya saing serta kurang mendapat tempat di pasaran. Sangat ego dan keras hati, gagal mentadbir sebuah IPT kerana tiada pengalaman dalam pentadbiran, membuat keputusan ikut kehendak sendiri walaupun diputuskan dalam mesyuarat tetapi akan diubah sekiranya tidak memihak kepadanya, gemar bermusuh dengan sesiapa sahaja sekiranya cuba membetulkan sebarang kesilapannya, serta tidak menggalakkan silaturahim di kalangan kakitangan. 


ISU-ISU BERBANGKIT

Antara permasalahan yang dihadapi oleh staf KUIN adalah disebabkan perkara-perkara berikut:

1.          Kebajikan Kakitangan INSANIAH

1.1       Rektor langsung tidak mempedulikan atau mengambil tahu kebajikan kakitangan sehingga mengakibatkan potongan gaji kepada pihak ketiga seperti bank, KWSP, Tabung Haji, Jabatan Zakat, Institusi Insuran dan lain-lain agensi telah tidak dibayar mengakibatkan kakitangan KUIN mendapat notis amaran serta notis saman dari bank, kereta akan ditarik kerana berbulan-bulan tidak dibayar.  Potongan caruman kepada KWSP juga tidak dibayar bagaimanapun pihak pentadbiran hanya membayar denda dan kompaun sahaja yang benilai puluhan ribu ringgit sebulan.    
1.2              Kakitangan KUIN juga telah dinafikan hak kenaikan gaji 13%, kenaikan elaun colar,bonus serta opsyen pencen 60 tahun seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri.  Sepanjang 16 tahun beroperasi, inilah kali pertama Pentadbiran  KUIN tidak menggunapakai pekeliling pentadbiran kerajaan dengan alasan KUIN telah diswastakan sedangkan pengswastaan KUIN tidak pernah digazetkan di dalam Dewan Undangan Negeri Kedah.  Kami, semua kakitangan tidak pernah dimaklumkan tentang status KUIN secara hitam putih, jika Pengurusan Tertinggi KUIN dan Lembaga Pengarah sedar bahawa KUIN adalah swasta kenapa tiada opsyen penukaran status di dalam surat perlantikan kakitangan KUIN? Jika benar KUIN adalah swasta kenapa kadar gaji antara Insaniah Holdings Sdn Bhd dan KUIN tidak sama dan amat jauh berbeza ?

1.3              Adakah ini menunjukkan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Tertinggi KUIN tidak prihatin tentang kebajikan kakitangan ataupun sememangnya ada muslihat untuk kepentingan mereka dengan menidakkan pekeliling kerajaan bagi membolehkan kronisme dan nepotisme berleluasa.  Bagaimana boleh dikatakan swasta sedangkan skim perkhidmatan dan tangga gaji semua kakitangan termasuk Rektor dan perlantikan Rektor menggunakan skim kerajaan sejak mula penubuhan pada 1995 hingga sekarang.

2.    Insentif Perpindahan ke Kuala Ketil

2.1      Arahan supaya berpindah segera ke Kampus Kuala Ketil walaupun kelulusan belum lagi diterima dari Kementerian Pengajian Tinggi.  Memandangkan  95 peratus kakitangan KUIN tinggal di Alor Setar, perpindahan ke Kampus Kuala Ketil merupakan beban yang sangat berat kepada kakitangan KUIN kerana untuk kos sewa rumah di Kuala Ketil telah meningkat dengan serta merta, untuk sebuah rumah kos rendah dua bilik harga sewaan yang diberi dari RM450 hingga RM700 sebuah.  Gaji kakitangan bawahan hanya sebanyak RM1200 yang perlu dibelanjakan untuk menampung hidup di Kuala Ketil.  Sedangkan Rektor telah dibayar gaji serta pelbagai elaun kira-kira RM20,000 sebagai insentif untuk berkhidmat di INSANIAH di samping kenderaan, petrol, touch ‘n go serta pemandu.

2.2      Kami semua kakitangan KUIN tidak pernah menentang perpindahan ke Kampus Kuala Ketil, malah amat berbangga mempunyai sebuah kampus baru yang menjadi kebanggaan peribadi Menteri Besar tetapi bagaimana mahu menyokong arahan Menteri Besar sedangkan kebajikan kami langsung tidak dipedulikan.  Di dalam plan asal pembangunan Kampus Kuala Ketil terdapat bangunan-bangunan asrama pelajar dan quarters penginapan untuk kakitangan serta telah termasuk dalam kos pembinaan. 
2.3      Bagaimanapun sekarang ini, setelah diarah berpindah, didapati tiada asrama pelajar dan quarters penginapan, oleh itu bukan kakitangan sahaja malah pelajar turut bermula awal Mac 2013. Sedangkan di dalam manifesto semasa Pilihanraya ke 12 tahun 2008 telah dijanjikan sebuah kampus yang lengkap dengan kemudahan untuk keselesaan pembelajaran pelajar dan kemudahan kakitangan.

2.4      Adakah Menteri Besar tahu dan sedar bahawa Rektor tidak pernah melakukan ‘feasibility studies’ yang merupakan keperluan sebuah IPT sebelum penawaran kursus pengajian dilaksanakan?   Kedangkalan ilmu pengurusan Rektorlah menyebabkan INSANIAH menanggung beban dan kerugian kerana gagal membuat perancangan dan ‘feasibility studies’ kelestarian IPTS yang menjadi keperluan sebuah IPT. Sejarah  menunjukkan Rektor sendiri amat cetek dengan ilmu pengurusan disebabkan di UIAM beliau hanyalah seorang Dekan Kemasukan & Rekod yang menguruskan fail-fail pelajar sahaja, ini telah mengakibatkan kepada kekusutan dan kesulitan yang terpaksa diselesaikan oleh penggantinya.
     
  
3.    INSANIAH Holdings Sdn Bhd

3.1      Atas arahan YAB Menteri Besar, KUIN telah menubuhkan Insaniah Holdings Sdn Bhd bertujuan menjalankan perniagaan bagi menjana keuntungan untuk menampung wang peruntukan Kerajaan Negeri yang jelas tidak mencukupi untuk pengurusan sebuah IPT seperti KUIN kerana pelajar hampir 6,000 orang serta kakitangan hampir 600 orang.         

3.2      CEO Insaniah Holdings, Dr Ramli Saad dibayar gaji RM40,000 sebulan, CEO-CEO anak-anak syarikat subsidiari serta Pengawal Kewangan dibayar gaji melebih RM10,000 sebulan seorang di samping itu kakitangan Insaniah Holdings dibayar gaji yang amat tinggi dari kakitangan KUIN.  Apakah jasa Dr. Ramli Saad sehingga dibayar gaji begitu tinggi dengan menghabiskan duit Kerajaan Negeri sedang gaji Menteri pun tidak sebanyak itu?

3.3      Ahmad Skhri Ramli yang dilantik sebagai Pengawal Kewangan Insaniah Holdings  telah disabitkan terhadap dua pertuduhan bawah seksyen 41(1)(a) SIA 1983 yang dibaca bersama dengan seksyen 122C(c) akta yang sama kerana bersubahat dengan PBSN dalam melakukan jualan singkat 202 lot saham-saham AKN Technology Berhad dan telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan denda sebanyak 300,000.00 (atau 12 bulan penjara),  (maklumat dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).  Kredibiliti beliau mengurus kewangan sangat meragukan selaku seorang yang pernah dijatuhkan hukuman sebagai seorang penjenayah.

3.4      Adakah Menteri Besar tahu dan sedar bahawa sehingga ke hari ini, Insaniah Holdings gagal menjalankan apa-apa perniagaan hatta gaji kakitangan Insaniah Holdings dibayar menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri diambil dari kewangan KUIN, akibat dari keadaan ini, KUIN sedang menghadapi kedudukan kewangan yang sangat kritikal sejak tahun 2011.  Segala potongan gaji kakitangan KUIN yang sepatutnya dibayar kepada pihak bank dan agensi berkaitan digunakan untuk membayar gaji kakitangan Insaniah Holdings.
        
4.    Pemalsuan Dokumen

4.1      Kakitangan KUIN berharap bahawa pemerintahan Kerajaan Negeri di bawah YAB Menteri Besar  lebih  Islamik,  telus dan tiada unsur-unsur penipuan, namun apa yang berlaku, banyak dokumen yang dipalsukan terutama laporan kewangan Holdings yang mencatatkan keuntungan berlipat ganda sedangkan hakikatnya tiada sebarang keuntungan yang dijalankan.  Adakah logik akal mendapat keuntungan tanpa sebarang perniagaan, begitu hebat sekali kakitangan INSANIAH Holdings bekerja?

4.2      Pada 31 Oktober 2012, Syarikat Shake Cuisine Sdn Bhd dari Sungai Petani telah menang saman sebanyak RM1.599 juta setelah INSANIAH gagal menjelaskan tuntutan perkhidmatan penginapan yang telah disediakan oleh syarikat berkenaan kepada pelajar-pelajar INSANIAH di Kampus Cawangan Sungai Petani. Rektor telah mengarahkan Setiausahanya menyediakan minit mesyuarat palsu sebagai bukti di Mahkamah Tinggi Alor Setar, bagaimanapun perbicaraan tersebut telah memihak kepada syarikat berkenaan.  Minit tersebut hanya disediakan selepas mendapat surat saman dari Shake Cuisine pada April 2012 dan di’backdated’’ pada 14 Oktober 2009.

4.3      Menteri Besar sepatutnya bersujud syukur kerana Allah Maha Mengetahui telah membuka hijab kemungkaran yang dilakukan oleh Rektor dengan memberi kemenangan kepada Shake Cuisine dan Allah juga telah memperkenankan doa orang-orang yang dizalimi.  Begitu juga Allah memberi kemenangan kepada 5 pelajar KUIN yang digantung pengajian hanya kerana menegur pentadbiran Jamil dan Menteri Besar, walaupun Menteri Besar mengarahkan peguam  Karpal Singh mewakili INSANIAH.

4.4      Untuk makluman Menteri Besar, dokumen SETARA 11 yang  dibangga-banggakan mendapat TIER 4 hanyalah dokumen yang diragukan dipalsu dan ditiru yang disediakan pada bulan Februari 2012 dalam satu bengkel di Jerai Regency, Gunung Jerai.  Semua dokumen tersebut juga diarah supaya di’backdated’’ bagi memenuhi keperluan instrumen SETARA.   Kakitangan yang dilantik menjadi sekretariat SETARA berasa sangat berdosa kerana bersubahat dengan Rektor menyediakan dokumen palsu.  Seorang pegawai tinggi di bahagian akademik KUIN telah menciplak dokumen SETARA milik KUIS bagi kegunaan KUIN, begitu rupanya cara kerja  matlamat menghalalkan cara.

TUNTUTAN

Kami SELURUH kakitangan KUIN menuntut supaya:

1.      Rektor selaku Ketua Eksekutif INSANIAH ditamatkan perkhidmatannya serta merta kerana ternyata gagal mentadbir dengan cekap dan amanah, di bawah Perkara 33 Akta 555 (Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996):
                        Kewajipan Ketua Eksekutif

                    33. Ketua Eksekutif hendaklah, tertakluk kepada peruntukan Akta ini dan perlembagaan   
                       institusi pendidikan tinggi swasta itu, menjalankan penyeliaan am ke atas perkiraan bagi 
                       ajaran, pentadbiran, urusan hari ke hari, kebajikan dan disiplin di institusi pendidikan tinggi
                       swasta  itu.

2.      INSANIAH Holdings Sdn Bhd dan anak anak syarikat subsidarinya ditutup operasi serta merta serta semua kakitangannya juga ditamatkan perkhidmatan serta merta kerana syarikat ini merupakan liabiliti kepada KUIN serta Kerajaan Negeri. Kakitangan KUIN yang dipinjamkan ke Insaniah Holdings Sdn Bhd diambil kembali berkhidmat di KUIN.

3.      Menerima Pekeliling Perkhidmatan Awam dengan membayar tunggakan kenaikan gaji  13 % bermula Januari 2012, tambahan elaun sara hidup RM 50.00 dari jumlah yang sedang dibayar serta bayaran bonus tahunan .

4.      Menamatkan kakitangan akademik luar negara yang bermasalah dan tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik serta membebankan.

5.      Membayar semua tunggakan pinjaman kakitangan ke bank-bank, institusi kewangan dan pihak ketiga  yang masih tertunggak dan membersihkan nama kakitangan yang disenarai hitamkan di dalam sistem CTOS dan CCRIS.

6.      Menutup semua kuliah-kuliah dan program pengajian yang tidak mempunyai pelajar dan memperkasakan program pengajian Islam yang menjadi teras kepada kehebatan KUIN sejak bertahun-tahun sebelumnya.

7.      Mengembalikan semula  sebahagian pentadbiran Kulliyyah yang kini berada di bawah Insaniah Holdings kepada  pentadbiran di bawah KUIN yang dikendalikan Hal Ehwal Akademik seperti Pusat Bahasa, Kulliyyah Hospitaliti, Kulliyyah Multimedia dan Kulliyyah Kaunseling

PENUTUP
Menteri Besar sepatutnya melihat dengan mata hati, pihak manakah yang menang? Tanpa disedari Rektor telah memperalatkan Menteri Besar untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat kerana Rektor hanya menjadi ahli PAS pada Ogos 2008 sedangkan semasa Dato’ Seri Syed Razak Barakbakh menjadi Menteri Besar, Rektor dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Induk Kedah Maju 2010.  Siapakah ejen UMNO yang sebenarnya? Rektor atau kakitangan?  Semoga YAB Menteri Besar banyak-banyaklah bermuhasabah.

JAGALAH ALLAH, ALLAH PASTI JAGA HAMBANYA
JAGALAH RAKYAT, RAKYAT PASTI JAGA PEMIMPINNYA
JAGALAH KAKITANGAN, KAKITANGAN PASTI MENJAGA INSTITUSINYA

Yang benar ,

19 Februari 2013

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates