Selasa, 14 Mei 2013

Turunkan sikap ultrakiasu sebelum berdebat — Ridhuan Tee

DIS 9 — Pada pagi 25 November 2009, saya menerima panggilan daripada ibu pejabat MCA. Panggilan tersebut disusuli dengan surat jemputan rasmi daripada Pemuda MCA mengajak saya berdebat dengan ketua mereka secara terbuka bersama Prof Khoo Kay Kim mengenai sekolah satu aliran. Selepas itu saya menerima panggilan daripada akhbar Cina mengenai respon saya berkaitan cabaran tersebut. Saya katakan kepada mereka baca respon saya dalam Mingguan Malaysia. Dulu saya boleh bersabar setelah dikutuk dan dicerca selama berminggu-minggu oleh akhbar sekutu ultra kiasu ini, kenapa kali ini akhbar tersebut tidak boleh bersabar menunggu jawapan saya. Apakah berita mengenai saya mahu diekspoitasikan lagi? Sabarlah, sebab sabar itu sebahagian daripada iman.
Alhamdulillah, masanya telah tiba. Saya amat bersyukur Kay Kim telah menerima jemputan tersebut. Biar kita berbincang secara terbuka. Kalau boleh forum atau debat ini disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen dan media elektronik di negara kita. Biar rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam usaha untuk memperkasakan sebuah negara bangsa. Pendidikan negara tidak boleh dipolitikkan. Ia terlampau suci dalam memperkasakan anak bangsa kita berbilang kaum ini. Saya ingin mencadangkan supaya forum tersebut dikendalikan dalam bahasa Melayu sebagai menyahut seruan 1Malaysia, bukannya bahasa Inggeris. Kita juga mahu melihat watak segelintir produk SJKC yang dipilih khas untuk membahaskan isu-isu ini dalam bahasa kebangsaan.

Sebelum berdebat, saya ingin berpesan kepada ketua pemuda MCA dan rakan-rakannya yang begitu ghairah supaya menyelesaikan sandiwara parti sendiri dahulu. Adakah debat ini bertujuan untuk mengalihkan perhatian terhadap masalah dalaman parti? Atau apakah mungkin masalah parti ini digunakan sebagai alasan untuk menuntut dan mendesak? Nasihat saya, jangan terikut-ikut dengan rentak parti ultra kiasu yang tidak pernah mahu mengalah. Parti ultra kiasu ini amat licik, dan pandai mengambil kesempatan. Apakah ada pakatan dalam menimbulkan isu ini?

Saya cadangkan ketua pemuda tersebut berhenti menangis disebabkan masalah dalaman parti sebelum berdebat. Saya bimbang selepas berdebat nanti menangis lagi. Jangan buang air mata kerana politik. Biarlah kita banyak menangis memikirkan kebesaran Tuhan dan bersyukur dengan nikmat yang melimpah-ruah di negara kita. Itu lebih membawa makna. Kuasa yang diperolehi pada hari ini adalah pinjaman. Ia boleh hilang bila-bila masa seperti apa yang melanda parti pemuda itu. Justeru, gunakan dengan betul, jangan terlalu mendesak sehingga terikut-ikut rentak parti ultra kiasu. Kita perlu ada pendirian, terutama dalam memperkasakan 1Malaysia.

Saranan saya lagi, sebelum berdebat, pemuda MCA kena fikirkan dan merangka strategi bagaimanakah hendak memenangi hati orang Cina pada pilihan raya akan datang agar tidak terlepas ke tangan golongan ultra kiasu. Tidakkah MCA sedar bahawa kerusi yang mereka menangi hari ini adalah kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Melayu? Jangan pura-pura buat tidak faham akan toleransi dan sokongan orang Melayu? Mungkinkah orang Melayu (Islam) akan menang jika bertanding di kawasan bukan Melayu? Sebenarnya orang Melayu amat berat untuk mengundi orang bukan Melayu jika ada calon Melayu bertanding di tempat yang sama. Kenapa mereka sanggup undi bukan Melayu (Cina dan India)? Saya minta kajilah sifat-sifat mulia ini. Jangan asyik jadi melompat apabila sekolah vernakular diusik. Fikirkanlah soal masa hadapan.

Ingatlah! orang Melayu yang memberikan kemenangan kepada MCA. Jika tidak, MCA dan Gerakan akan berputih mata. Berapa banyak lagi jawatan senator akan dilantik untuk memenuhi kuota orang Cina di negara kita ini. Jika dikira undi yang dimenangi oleh MCA apabila menentang DAP, kebanyakan undi MCA adalah undi Melayu walaupun ia kalah di tangan ultra kiasu. Siapakah yang lebih bertolak ansur dan tidak perkauman? Melayu sanggup ketepikan prinsip semata-mata kerana MCA. Beruntungnya MCA dan Gerakan, walaupun kalah, kerusi senator tetap ada.

Lebih jelas lagi, semakin parti ultra kiasu memenangi banyak kerusi, semakin banyaklah kerusi senator untuk MCA dan Gerakan. Untung sungguh ketiga-tiga parti ini. Menang atau kalah, tetap menang. Siapakah yang rugi? Orang Melayu juga yang terpaksa berkorban. Sikap berkorban ini amat baik terutama sempena hari raya korban, tetapi jangan sampai terkorban! Pihak yang satu lagi bila mahu berkorban? Takkan sekadar hadiri majlis-majis korban untuk mengatakan inilah semangat 1Malaysia. Kemudian ditampal dalam blog. Taktik ini sudah basi. Kalau tidak percaya lawati laman blog ahli parlimen ultra kiasu dan tidak kurang laman pemuda yang mahu berdebat itu.

Terbaru, beberapa pertubuhan Cina telah menyuarakan hasrat mereka mendesak kerajaan menggantikan MCA dengan mereka kerana MCA sudah tidak lagi boleh mewakili kepentingan orang Cina. Saya ingin bertanya berapa banyak lagi pertubuhan mahu diminta untuk mewakili kepentingan orang Cina. Tidakkah parti ultra kiasu, Gerakan dan NGO-NGO perkauman itu sudah mewakili? Lantang mengkritik, di dalam ada yang memujuk. Ini tidak termasuk negeri-negeri yang dimenangi oleh sekutu ultra kiasu seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, tidak ketinggalan Perak sebelum ini? Apakah suara mereka tidak ada jika MCA tidak wujud? Pada hemat saya, jika tidak ada parti-parti perkauman ini hak mereka tetap terpelihara, sebab ia telah dijamin dalam perlembagaan dan juga ajaran suci Islam.

Saya yakin, Islam yang dianuti oleh orang Melayu tidak akan meminggirkan orang bukan Islam berbanding nasib orang Melayu di Singapura. Terbukti, apabila orang Islam memerintah, bukan Islam boleh hidup senang lenang. Hak mereka terjamin. Semua ini berpunca daripada toleransi ajaran Islam yang mengajar penganutnya supaya tidak melaku penganiayaan terhadap orang lain. Tetapi apabila bukan Islam memerintah, orang Islam amat tersiksa jiwa raga mereka.

Ambillah pengajaran filem kisah benar bersejarah Kingdom of Heaven yang ditayangkan di TV2 baru-baru ini mengenai hubungan antara Islam (Sallahuddin al-Ayubi) dan Kristian dalam perang salib berhubung kota Baitulmaqdis pada tahun 1188. Ketika tentera salib memerintah, umat Islam dibunuh sewenang-wenangnya. Kekejaman digambarkan sehingga darah umat Islam yang dibunuh sampai ke paras lutut. Namun, apabila tentera Islam Berjaya menewaskan tentera salib, bukan Islam tidak dibunuh, malahan hak-hak mereka sentiasa dijaga. Tawanan perang tentera salib turut diberi rawatan oleh orang Islam. Inilah hebatnya ajaran Islam yang terus dipraktikkan pimpinan Islam negara kita sehingga ke hari ini. Justeru, janganlah ambil kesempatan sehingga hilang rasional dan menjadi ultra kiasu?

Dalam surat pemuda MCA kepada saya, mereka mengatakan artikel saya tulis pada 22 November telah mengundang kemarahan ibubapa, murid-murid dan alumni sekolah Cina. Persoalan saya, bilakah kajian dibuat? Takkan dalam masa 3 hari MCA telah membuat penyelidikan dan mendapat jawapan. Apakah saya silap melabelkan ultra kiasu ini pada kumpulan tertentu sahaja, sehingga terlepas pandang pada sayap pemuda ini? Saya harap pemuda MCA tidak sampai ke tahap itu. Sekian lama berada di dalam BN, takkan masih tidak faham lagi aspirasi dan cita rasa kerajaan? Jangan terikut dengan parti ultra kiasu, nanti generasi kita yang rugi.

Terus terang saya katakan, orang Melayu tidak akan rugi untuk jangka masa panjang jika peningkatan bilangan mereka semakin bertambah, manakala bilangan orang Cina terus menurun. Tak tahulah pulak jika kita tukar strategi dengan membawa masuk orang Vietnam dan China dengan cara mengahwini mereka! Mungkin Kementerian Dalam Negeri boleh siasat. Sekiranya trend peningkatan ini terus berlaku, bermakna hak Melayu akan menjadi semakin banyak. Mereka boleh ubah perlembagaan pada masa akan datang, termasuk menghapuskan sekolah vernakular. Akibatnya, siapakah yang rugi nanti? Justeru, jangan terlalu mengambil kesempatan disebabkan oleh situasi politik yang tidak banyak menyebelahi Melayu Islam pada hari ini.

Jika kita terus menerus menjadi defensif dan ultra kiasu, yang rugi nanti adalah anak cucu cicit kita. Adalah lebih baik hari ini kita lebih memahami orang Melayu daripada terlebih memahami barat. Kalau kita terus tunjukkan keras kepala akhirnya keturunan kita yang menjadi mangsa. Ketika itu kita telah menjadi nenek moyang. Kita akan dikutuk habis-habisan oleh generasi akan datang kerana terlampau ultra kiasu.

Namawee adalah contoh jelas ultra kiasu. Sudahlah kontroversi menghina lagu Negaraku masih panas, terbaru mengenai sikap ultra kiasu beliau terhadap TNB. Saya tidak menyalahkan beliau sepenuhnya. Sikap TNB juga perlu diperbetulkan. Adakah kita serius dengan bisnes kita? Talian 15454 kadangkala memang tidak dijawab, setelah dihubungi beberapa kali. Ini menyebabkan Namawee datang sendiri ke pejabat TNB disebabkan oleh masalah blackout di kawasan kediamannya. Beliau memaki-hamun TNB dengan kata-kata amat kesat dalam bahasa Cina apabila aduan beliau tidak dilayan dengan baik oleh kakitangan TNB yang ketika itu yang sedang makan pisang dan minum kopi. Spesis ini sebenarnya masih ramai. Pembawaan sikap ini ada kaitan dengan sistem pendidikan dan politik perkauman hari ini.
Biro Tata Negara tidaklah sebahaya sikap ultra kiasu. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan hujah yang disampaikan BTN seperti yang dilaporkan, sebab kita ada hak untuk menerima atau menolak. Sama juga situasi kenapa parti ultra kiasu dan sekutunya boleh berkawan dengan PAS, tetapi menolak negara Islam PAS? Sikap ini lagi bahaya sebab kita menjadi duri dalam daging atau musuh dalam selimut. Berpura-pura baik di hadapan, di belakang menikam. Pada saya, kita kena fikir bahaya di depan mata iaitu ego sikap ultra kiasu, pendidikan perkauman dan politik perkauman.

Saya akan bersetuju dengan kursus anjuran pakatan ultra kiasu mengganti kursus BTN jika kursus tersebut boleh menurunkan sikap ultra kiasu yang bersarang pada diri mereka termasuk yang menjemput berdebat? Saya bimbang mereka akan terus menjadi lebih ultra. Kalau tidak percaya, cuba masukkan satu modul mengenai sistem kenegaraan Melayu, negara Islam dan hak-hak istimewa Melayu untuk dibincangkan bagi lebih memahami hasrat orang Melayu dan Islam. Lihatlah reaksi segelintir mereka dalam ketiga-tiga parti ini?

Berkali-kali telah saya sebut, tolak ansur yang ada pada masa kini perlu dihargai. Tidak cukup dengan itu, akta demi akta undang-undang telah dipinda untuk menjaga hati dan memuaskan semua pihak, sehingga hati sendiri terguris, tetapi sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah puas. Beri betis hendak peha. Kita perlu melakukan sedikit pengorbanan hari ini, jika tidak generasi akan datang akan terkorban. Fikirkan semua isu ini sebelum kita berdebat. — ridhuantee.blogspot

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates