Sabtu, 9 November 2013

@MukhrizMahathir PAS 'kekal dalam merudum'

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang berlangsung pada 4 November lalu, menunjukkan perubahan pola pengundian khususnya kalangan masyarakat Melayu. PRK DUN Sungai Limau berbeza dengan PRK DUN Kuala Besut, Terengganu kerana ia berlangsung di kubu kuat PAS di mana wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak berjaya mengekalkan kemenangan PAS selama 18 tahun.

Malah, bekas Menteri Besar Kedah itu berjaya meningkatkan populariti PAS daripada sekadar parti yang menang sekitar majoriti bawah 500 undi kepada melebihi 2,000 undi, bahkan mencecah 3,000 undi.

Apabila Azizan meninggal dunia, PAS berhadapan dengan satu cabaran besar, apatah lagi PRK DUN Sungai Limau diadakan hampir dengan muktamar dan pemilihan PAS. Bagaimanapun, PAS Kedah berjaya memenangkan calon parti itu menggunakan slogan ‘Kekal’ walaupun dengan sokongan 12,069 pengundi, iaitu penurunan 1,225 undi berbanding 13,294 undi yang diperoleh Azizan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Pertemuan M dan M

Slogan ‘Berani Hijrah’ BN gugat kestabilan parti lawan
Datuk Mahfuz Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru menggantikan Azizan berhadapan dengan Menteri Besar Kedah yang baru, iaitu Datuk Mukhriz Mahathir. Ia pertemuan ‘M&M’ dengan berproksikan calon dari parti masing-masing iaitu PAS dan UMNO yang mewakili.

Pasca PRU-13 menyaksikan UMNO dan PAS bertemu dua kali dalam PRK dengan masing-masing menang di kubu kuat sendiri. Namun, pada kedua-dua PRK itu, BN berjaya menambahkan sokongan.

Dalam PRK DUN Sungai Limau, BN berjaya mengurangkan lagi tahap keyakinan PAS Kedah selepas parti itu gagal mempertahankan Kedah. PAS dalam masa enam bulan sahaja gagal mempertahankan pencapaian di DUN Sungai Limau semasa PRU-13.
Bahkan BN berjaya melonjakkan popularitinya dengan slogan ‘Berani Hijrah’ dengan memperoleh 10,985 undi, iaitu kenaikan 465 undi. BN juga menang di 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) berbanding pada PRU-13 dengan hanya enam PDM. PAS pula hanya mampu mengekalkan kemenangan di sembilan PDM berbanding 13 PDM pada PRU-13.

Penyusutan populariti PAS berlaku dalam setiap kali pilihan raya sejak PRU-12 pada 2008 yang mana ia menang dengan majoriti 3,212 undi. Pada PRU-13 pada Mei lalu, majoriti berkurangan kepada 2,774 undi.
Sebaliknya, undi kepada BN meningkat mendadak daripada hanya 8,816 undi pada PRU-12 kepada 10,520 pada PRU-13, iaitu penambahan 1,704 undi. Bilangan 10,985 undi yang diraih BN pada PRK DUN Sungai Limau adalah peningkatan kali ketiga berturut-turut. Dalam tempoh enam bulan saja, BN berjaya menambah 465 undi di DUN berkenaan.

Pendekatan diterima rakyat

BN berjaya kerana pendekatannya semakin diterima rakyat. Peningkatan sokongan kepada BN yang sig-nifikan menandakan kepemimpinan BN di Kedah dan nasional pasca pemilihan parti Oktober lalu diterima masyarakat.
Cuma BN perlu bekerja lebih aktif mendampingi rakyat tanpa perlu menunggu sebab besar seperti pilihan raya.

Bagi PAS, kemenangan tetap kemenangan biar sedikit manapun kelebihan undi itu. Namun, PAS harus sedar PRK itu menunjukkan parti berkenaan mengalami kemerosotan majoriti undi sebanyak 61 peratus berbanding pada PRU-13, iaitu daripada 2,774 undi kepada 1,084 undi. Apa yang harus difikirkan PAS ialah kenapa jumlah undi susut adalah lebih besar daripada majoriti 1,690 undi, iaitu penyusutan hampir 156 peratus daripada jumlah majoriti. Ini petanda tidak baik kepada PAS dan pakatan pembangkang.

Kenapakah berlakunya keadaan sebegini? Adakah wujud pengundi luar yang begitu banyak menyokong PAS sebelum ini yang tidak pulang mengundi atau adakah terdapat ahli PAS yang tidak keluar mengundi kerana memprotes tindakan parti dalam hal dan isu tertentu. Kajian terperinci perlu dilakukan.

Sudahlah, majoriti berkurang, undi diperoleh juga berkurangan dan ini boleh dinamakan ‘merudum’. Ini kekalahan ‘ganda dua’ kepada PAS dari segi susutan undi yang ditambah pula dengan susutan majoriti. Sangat malu bagi PAS dan kepemimpinannya kerana hal ini boleh berlaku di kawasan yang menjadi kubu terkuat mereka sejak beberapa dekad lalu.

PAS menang tetapi berlaku penurunan undi dan majoriti di hampir semua kawasan PDM kepada parti itu. Sebaliknya BN walaupun tewas, berjaya melonjakkan bukan sahaja undi yang diperoleh tetapi juga bilangan PDM yang dimenanginya pada PRU-13 dan menawan beberapa PDM dahulunya milik PAS.

Jika keadaan ini menjurus kepada kesan domino dalam sokongan pengundi Kedah, khususnya masyarakat Melayu, maka tidak mustahil BN negeri yang dipimpin Mukhriz mampu menawan DUN lain yang bukan kubu pembangkang tetapi dimenangi PAS serta parti pembangkang lain.

Lihat saja penyusutan sokongan di PDM Bukit Besar di mana pada PRU-13 PAS menang dengan 1,624 undi, dan BN mendapat hanya 355 undi. Namun pada PRK lalu, PAS mengalami pengurangan undi kepada 1,557 undi dan BN berjaya meningkatkan sokongan kepada 443 undi.

Tingkat sokongan

Di Bukit Choras pula, PAS menang dengan 695 undi manakala BN mendapat 141 undi, iaitu perbezaan hanya 554 undi. Pada PRU-13, Azizan sebagai calon PAS meraih 726 undi berbanding 126 undi yang diterima calon BN. Ini menunjukkan sokongan terhadap PAS merosot dan BN berjaya meningkatkan sokongan undi di kawasan berkenaan. Secara keseluruhannya, BN berjaya menembusi peti undi tegar PAS dengan meningkatnya jumlah undi diperoleh.

Namun, dominasi PAS di Bukit Besar dan Bukit Choras banyak membantu kemenangan parti itu. PAS harus berterima kasih kepada ‘kesetiaan’ pengundi di dua peti undi itu yang mempunyai tradisi sokongan tegar kepada PAS. Selama ini ramai tokoh pengajian sistem pondok di situ menyokong dan memimpin PAS kawasan Jerai.

Ini menunjukkan ‘politik pondok’ menjadi faktor kemenangan PAS di DUN Sungai Limau. Sebab itu kepemimpinan PAS kini pun iaitu Mursyidul Am dan Presiden mempunyai ‘pondok’ sendiri sebagai kubu di kawasan masing-masing. Pergantungan rapat PAS dengan politik pondok jelas wujud, bahkan di kawasan wujudnya institusi pondok tradisi seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu banyak membantu meraih undi kepada parti itu.

BN juga mendekati institusi pondok seperti menerusi peranan Datuk Ahmad Badawi, ayah kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, di dalam UMNO. Beliau adalah ‘tok guru’ pondok yang disegani dan diangkat BN sebagai calon dan wakil rakyat serta diberi peluang menjawat jawatan EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang hinggakan pernah memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.


Mengetengahkan guru, ulama

Mungkin UMNO juga harus mendapatkan sokongan dan mengetengahkan guru serta ulama setempat, jika pun bukan sebagai calon pilihan raya, setidak-tidaknya sebagai wakil BN di Dewan Negara. Jadikan ‘tok guru’ pondok sebagai Senator yang boleh berperanan dalam hal ehwal Islam. Kerajaan Kedah mungkin boleh memulakan langkah ini di mana DUN Kedah boleh mencadangkan ‘tok guru’ yang berkaliber untuk menjadi Senator.

Di sebalik kejayaan mengurangkan undi yang diperoleh PAS dalam PRK DUN Sungai Limau itu, BN harus bergerak terus mendampingi rakyat. UMNO sudah melakukan yang terbaik. Parti komponen BN yang lain, khususnya parti dominasi kaum Cina harus bukan saja bekerja tetapi mampu menjadi popular dalam kalangan pengundi bangsa masing-masing.

Secara umumnya, keputusan PRK DUN Sungai Limau menunjukkan tahap sokongan kepada PAS semakin merosot dan pendekatan ‘Kekal’ digegarkan pendekatan ‘Berani Hijrah’ BN. Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah yang baru berjaya membawa gelombang kebangkitan sokongan masyarakat Melayu di kawasan ‘tegar’ PAS hinggakan BN berjaya bukan sahaja mempertahankan jumlah undi sebelum ini tetapi menarik sokongan tambahan.

Rumusannya, PAS hanya berjaya merealisasikan hasrat mereka untuk ‘Kekal’ tetapi tanpa sokongan padu rakyat. ‘Kekal dalam merudum’ adalah istilah sesuai menggambarkan situasi yang berlaku dalam PRK DUN Sungai Limau.

Md Shukri Shuib
Penulis ialah Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

KedahTimes : Amat bersetuju dengan cadangan supaya senator dilantik dari kalangan ulama. Itupun kalau UMNO Ikhlas memperjuangkan Islam.

ads

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates