Selasa, 3 Disember 2013

KENYATAAN AKHBAR MENGENAI PEMUSNAHAN BINAAN WARISAN CANDI DI SUNGAI BATU, LEMBAH BUJANG, DAERAH KUALA MUDA, KEDAH


KENYATAAN AKHBAR MENGENAI PEMUSNAHAN BINAAN WARISAN CANDI DI SUNGAI BATU, LEMBAH BUJANG, DAERAH KUALA MUDA, KEDAH

Kerajaan Negeri Kedah sedih dan kesal diatas pemusnahan Candi 11 di Sungai Batu, Lembah Bujang.  Walaupun ianya adalah struktur yang telah dibina semula pada tahun 1974 di atas tapak candi yang asalnya dibina antara Kurun ke 8 – 11 Masehi, ianya tetap dianggap tapak warisan negara yang sepatutnya dipelihara.  Tapak-tapak candi di sekitar Lembah Bujang adalah sebenarnya tapak warisan yang telah tidak digunakan sebagai tempat penyembahan sejak berkurun-kurun lamanya.



Syarikat empunya tanah telah mendapat kelulusan untuk memajukannya pada tahun 1993 lagi tetapi tidak memulakan kerja-kerja pembersihan tanah hingga Ogos 2013.  Meskipun Kerajaan Negeri mengarahkan supaya syarikat berkenaan menghentikan kerja-kerja pembersihan tersebut, struktur Candi 11 yang dibina semula itu telahpun musnah sejak bulan Ogos lagi.


Candi yang sama boleh dibina semula di atas tapak asal dengan persetujuan syarikat, atau di tapak lain seperti berhampiran dengan tapak ekskavasi Universiti Sains Malaysia (USM) di Sungai Batu.  Untuk tujuan ini, pelan Candi 11 akan dirujuk untuk memastikan rekabentuk dan bahan yang sama seperti di tapak asal akan turut digunakan.

Kerajaan Negeri amat menitikberatkan usaha untuk memelihara semua jenis warisan turun temurun Negeri Kedah.  Bagi memastikan tapak-tapak warisan yang terletak di lebih seratus lokasi kesemuanya sekitar Lembah Bujang tidak musnah dimamah zaman atau akibat pembangunan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah bersetuju untuk menimbang permohonan Kerajaan Negeri agar tapak-tapak yang dikenalpasti mempunyai nilai warisan diwartakan.  Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan syarikat pemaju supaya menghentikan kerja-kerja pembersihan di tapak Candi 11.

Kerja-kerja ekskavasi dan pemuliharaan akan terus dilaksanakan oleh pakar-pakar arkeologi USM hingga kawasan Lembah Bujang boleh dibangunkan sebagai tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa.  Sehingga kini kajian arkeologi di Sungai Batu telah mendedahkan bahawa tapak ini telah digunakan sejak kurun ke-5 Sebelum Masehi, dari semasa ke semasa, sehingga kurun ke-17 Masehi.  Ini membuktikan bahawa tamadun Sungai Batu adalah tamadun tertua di rantau ini yang berasaskan industri peleburan besi.


DATO’ PADUKA MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman

Wisma Darul Aman, Alor Setar
3 Disember 2013



0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates