Jumaat, 8 Ogos 2014

Falsafah Hak Istimewa Pribumi : satu mekanisme kesamarataan

Artikel ini dihantar oleh penumbang yang membahasakan dirinya Dr Rakyat. KedahTimes mohon maaf kerana lambat menyiarkannya kerana terlepas pandang dalam ibox KedahTimes. Terimakasih kepada beliau dan kepada pembaca, bacalah dengan hati terbuka. Sebarkan.
Oleh: Dr Rakyat

Sejak merdeka, perlembagaan yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid telah mengambilkira situasi orang-orang Melayu, kedaifan mereka dan kuasa ekonomi bukan Melayu terutamanya kaum Cina. Orang Melayu bersedia memberikan kerakyatan automatik kepada orang Cina dan India. Mereka juga tahu, dengan memberikan kerakyatan, mereka akan hilang hampir keseluruhan kuasa ekonomi. Sesiapa yang menguasai ekonomi, menguasai Tanah Melayu (dan Malaysia selepas itu). Mereka akan menjadi kaum yang terpinggir dan ‘masyarakat kelas kedua’. Amatlah menyedihkan jika difikirkan bahawa mereka menyerahkan nasib bangsa dengan sebegitu sekali sedangkan mereka adalah pemilik dan pentadbir Negara ini melalui Raja-raja Melayu sejak zaman empayar Melaka lagi. Maka Suruhanjaya Reid berpendapat hak-hak istimewa harus diwujudkan supaya ketidaksamarataan kaum dapat dikurangkan. Ia menjadi kontrak sosial dan amat dipersetujui oleh wakil kaum Cina dan India pada waktu itu.

 Keengganan Asimilasi Orang–orang Cina

Umum mengetahui bahawa orang-orang Cina dan India rata-ratanya juga tidak mahu mengambil jalan asimilasi yakni menyerap budaya dan cara hidup kaum pribumi. Malahan bertutur dalam Bahasa Kebangsaan tidak menjadi keutamaan berbanding bahasa asal mereka, apalagi budaya dan cara hidup. Mereka lebih berminat menjadi kaum masing-masing dalam konteks rakyat Malaysia. Malahan mereka mahukan jaminan perlembagaan yang sekolah vernakular mesti diteruskan. 

Hingga kini, orang-orang Cina tetap lebih berminat untuk menjadi orang Cina Malaysia yang mengutamakan bahasa dan budaya Cina dari menjadi orang Malaysia. Setiap usaha mewujudkan sekolah satu aliran akan ditentang habis-habisan. Begitupun, Orang-orang Melayu masih sudi memberikan kuasa ekonomi kepada orang Cina tetapi dengan sedikit jaminan untuk mereka memperbaiki nasib mereka. Maka hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera diwujudkan. Mereka juga rela menjadi ‘pelanggan’ yang setia kepada orang-orang Cina terutamanya dan dalam proses ini menjadikan orang-orang Cina sebagai pemilik perniagaan sejak belum merdeka bertambah kaya sejak merdeka hinggalah sekarang. 

Kebaikan Hati Orang Melayu dan Bumiputera

Orang Melayu dan bumiputera tidak tamak dan amat baik hati.

Malahan mereka tidak meminta 60% penguasaan ekonomi. Cukuplah dengan 20%. Begitupun ini amat sukar dicapai. Mereka yang pernah bergiat dalam perniagaan dan hartanah tahu betapa sukarnya mengejar mereka yang terlebih dahulu menguasai sesuatu bidang ekonomi dan hartanah. Orang-orang Cina yang menjadi pemilik perniagaan pastinya akan bersaing habis-habisan bagi memastikan saingan mereka tidak berjaya. Mereka mempunyai modal yang lebih banyak dan jaringan perniagaan yang kukuh. Dalam bidang hartanah, seperti membeli rumah. Mereka membuat kekayaan dengan cepat dengan kelebihan membeli hartanah lebih awal dengan adanya wang yang lebih dari perniagaan mereka. Mana mungkin orang pribumi dapat mengejar kekayaan kerana apabila mereka mampu membayar wang muka dan ansuran, kaum Cina telahpun membuat untung atas kenaikan harga hartanah yang dibeli dari kelebihan kuasa ekonomi mereka.

Hak-hak Istimewa Tidak Menjadikan Pribumi Kaya

Hak-hak istimewa tidak sesekali dapat menjadikan orang Melayu dan bumiputera kaya. Ia berfungsi sebagai agen penyusunan masyarakat bagi mewujudkan kesamarataan. Ia hanya membolehkan kaum pribumi memulakan pengajian professional atau peluang perniagaan di peringkat awal (bahkan dalam kebanyakan kes sekali sahaja diberi). Selepas itu mereka bersaing dengan kaum bukan pribumi bahu-ke-bahu. Semasa mengikuti pengajian perubatan, apabila masuk ke universiti, kami bersaing 100% dengan mereka. Bahkan hingga kinipun, dalam profesion, kami memberikan sepenuh tenaga untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Kami juga dapat membuktikan yang sekiranya diberikan peluang, kami dapat membuktikan kebolehan kami dan segala-galanya berdasarkan merit. Dengan sedikit kelebihan ini, maka sekurang-kurangnya kaum pribumi tidak merempat dan mendapat peluang untuk bersaing dengan golongan bukan Melayu seperti kaum Cina yang jauh lebih kukuh dalam ekonomi dan dapat menghantar anak-anak mereka ke universiti dan seterusnya memacu ekonomi mereka dengan lebih baik.
Dengan sedikit hak keistimewaan ini, masyarakat kelas tengah (middle class) Melayu dan bumiputera dapat diwujudkan. Penubuhan ITM (sekarang UiTM) adalah untuk tujuan ini dan ia ternyata berjaya menghasilkan ramai professional supaya mengimbangi ketidaksamarataan masyarakat dengan bukan Melayu. Pengkhususan UiTM untuk kaum pribumi tidak sesekali kerana mahu menyisihkan bukan Melayu. Tetapi untuk tujuan pengimbangan dan mekanisme pembetulan distribusi kekayaan dan kemahiran. Malangnya orang-orang Melayu dan bumiputera yang berjaya dari dasar ini termakan dengan dakyah politik parti DAP dan melupakan kesan terhadap masyarakat pribumi yang lain yang jauh ketinggalan. Mereka menjadi alat yang sesuai bagi DAP atas nama ‘kesamarataan’. Malangnya ‘kesamarataan’ yang diperjuangkan oleh DAP akan memberikan ketidaksamarataan di antara kaum-kaum di Malaysia.

Hak Istimewa Sebagai Mekanisme Kesamarataan

Hak-hak istimewa tidak memberikan kelebihan dengan mengambil hak-hak orang bukan Melayu. Ia juga bukan menjadikan orang Melayu dan bumiputera sebagai ‘tuan’. Tidak ada ‘superior race’ atau ‘kaum superior’. Hakikatnya, hak-hak istimewa adalah sedikit sokongan untuk survival orang Melayu dan bumiputera dari menjadi kaum yang merempat di tanah sendiri.
Malahan pada masa ini pun, majoriti biasiswa yang diberi oleh syarikat-syarikat Cina diberikan kepada orang Cina. Malahan seorang rakan professional yang bekerja di sektor korporat memberitahu bahawa dia dapat melihat dengan jelas ‘keistimewaan’ yang diberikan kepada orang-orang Cina dari segi peluang kenaikan pangkat dan bonus (dalam masa yang sama mengutuk kerajaan secara terbuka kerana hak-hak istimewa pribumi). Mereka akan menuduh kerajaan dan orang Melayu terutamanya sebagai ‘rasis’ dan ini dapat menutup ‘racisme’ yang diamalkan dengan nyata oleh mereka di sector swasta.

Begitu juga dari segi diskaun pemilikan harta (biasanya hanya 7%), ia tidak banyak memberi kelebihan kepada kaum pribumi. Walaupun dengan diskaun ini, kaum Cina dengan kuasa ekonomi yang lebih membeli majoriti hartanah di bandar-bandar besar. Diskaun ini hakikatnya adalah alat kecil sebagai mekanisme pengimbangan kaum di Malaysia. Tanpanya hampir 100% mereka yang tinggal di Bandar-bandar besar adalah kaum Cina dan kaum pribumi hanya dapat membawa diri ke pinggir-pinggir Bandar dan desa.

Semua Rakyat Malaysia Boleh Mendapat ‘Hak Istimewa’ yang sama

Falsafah yang tersirat di sebalik ‘hak istimewa’ juga adalah untuk menggalakkan asimilasi kaum bukan pribumi terhadap kaum pribumi. Sesiapapun di Malaysia boleh mendapat hak-hak yang sama asalkan sanggup mengasimilasi dengan orang pribumi. Mereka hanya perlu berkahwin dengan orang pribumi dan dapat membeli harta dengan sedikit diskaun. Anak-anak mereka pula mendapat sepenuhnya hak pribumi. Semua ini tersedia sejak merdeka asalkan mereka sanggup menjalin hubungan kekeluargaan dengan kaum pribumi. Telah ramai yang berkahwin dengan kaum pribumi dan mendapat keistimewaan ini.

Ketidaksamarataan yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak terutamanya DAP dari segi hak-hak istimewa ini hanyalah ‘topeng’ bagi menutup kesan apabila hak-hak istimewa ini dihapuskan. Apabila hak-hak istimewa ini dihapuskan, kaum Cina yang sudahpun memlilki kuasa ekonomi dan profesional akan menyapu bersih kesemuanya. Ketidaksamarataan yang amat ketara dan perbezaan langit dan bumi akan wujud. Topeng ‘merit’ dan topeng ‘Malaysia’ hanyalah permainan semata-mata kerana perjuangan DAP adalah memastikan orang Cina dengan penguasaan ekonomi mereka menguasai segala-galanya. Amat malang ada orang Melayu dan bumiputera dalam PKR dan PAS termakan dengan helah mereka dan menjadi alat yang amat baik untuk tujuan perjuangan mereka.

Hak Istimewa Hanya Dapat Diberi, bukan Diambil

Mewujudkan satu ‘Bangsa Malaysia’ adalah impian semua. Ia seharusnya wujud dengan kesanggupan asimilasi semua untuk berbangga dengan budaya dan cara hidup Malaysia. Orang-orang Melayu dan bumiputera hakikatnya mahukan kehidupan yang harmoni dengan kaum lain di Malaysia. Setiap hari raya atau perayaan kebudayaan, mereka amat gembira dan berbesar hati menjemput dan melayani semua kaum di rumah terbuka mereka dengan hati yang besar dan ikhlas. Malah mereka menjadikan kaum yang berjaya seperti orang Cina sebagai contoh dan motivasi untuk bekerja lebih kuat dan berjaya. Hakikatnya, dengan adanya sekolah vernakular dan majoriti anak-anak orang Cina dihantar ke sana, adalah jelas yang orang-oranc Cina lebih mahu menjadi orang ‘Cina’ di Malaysia. Walaupun mereka mendakwa mereka mahukan merit dan kesamarataan, hasil akhir yang pasti adalah mereka dengan perwatakan ‘Cina’ memiliki hampir kesemua kekayaan Negara tanpa ada mekanisme untuk penyebaran kekayaan negara yang adil. Inilah hasil akhir yang DAP mahukan. Dan masyarakat pribumi akan melukut di tepi gantang, menjadi kaum yang terpinggir dan hanya mampu tinggal di dipinggir kota. Ini telahpun berlaku sekarang. Ketidaksamarataan yang amat jelas akan wujud tanpa hak-hak istimewa dan pada masa itu adalah terlambat untuk semua hasil akhir itu diubah dan dibetulkan. 

Hak-hak istimewa dan falsafah serta tujuan ianya diadakan tidak mungkin akan dapat diambil oleh orang-orang bukan pribumi. Ia hanya boleh diberi di atas talam perak kepada mereka oleh orang Melayu dan bumiputera sendiri. Pergilah berjalan ke pasaraya dan lihatlah siapa pemilik kekayaan di situ. 9 dari 10 kedai dimiliki oleh orang-orang Cina. Apabila hak ini diberi (oleh pribumi sendiri), 10 dari 10 kedai akan dimiliki oleh orang-orang Cina. Hak-hak istimewa ini tidak menjadikan kaum pribumi ‘tuan’. Hakikatnya ia hanya untuk mereka bertahan. Hakikatnya juga, kaum Cina sudah lama menjadi ‘tuan’ dalam ekonomi. Dalam situasi sekarang, jika hak ini dihapuskan, kaum bukan pribumi memiliki segala ‘ketuanan’ di Malaysia, bukannya kesamarataan


ads

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates