Selasa, 14 Mac 2017

Bandaraya Hutan Oleh Che Det


1. Saya pergi ke Forest City. Saya telah baca banyak laporan berkenaan Forest City ini. Saya juga telah membuat banyak teguran terhadap pembangunannya. Tetapi semua maklumat berkenaannya saya dapati second hand. Oleh itu saya perlu lihat sendiri Forest City ini.

2. Ia dibina di atas empat buah pulau buatan di Perairan Johor dekat dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Luasnya luas. Jalan kelas Satu yang agak panjang telah dibina ke arah Forest City.

3. Apabila sahaja memasuki jalan dalam kawasannya, tiba-tiba landscaping yang cantik luar biasa menghiasi jalan.

4. Sepanjang jalan terdapat papan tanda yang dipasang kepada tiang lampu dengan tulisan dalam bahasa kebangsaan “Hartanah Hak Milik Kekal”.

5. Tetapi Najib telah mendakwa dengan marah bahawa tanah yang dijual kepada syarikat negara China ini hanya sebagai leasehold 99 tahun sahaja. Mungkin Najib tidak tahu. Mungkin tidak lihat papan tanda.

6. Najib berjanji selepas 99 tahun kita akan dapat tanah kita (kita orang Malaysia). Tetapi papan tanda kata lain.

7. Sebenarnya Najib boleh batal syarat “Freehold” kerana ia bertentangan dengan dasar negara yang mana semua hakmilik tanah baru mestilah leasehold – 30, 66, 90 atau 99 tahun. Ramai rakyat Malaysia yang memohon tanah kecil mereka diberi secara kekal (freehold) tetapi gagal. Tetapi nampaknya orang asing boleh dapat secara kekal.

8. Kata pepatah Melayu (yang tidak perlu kita pedulikan) “Anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan”. Kesian.

9. Ya, memang cantik dan mengkagumkan pembangunan Forest City. Yang menarik sekali ialah landscaping yang sudah menang berbagai hadiah antarabangsa. Pelawat Malaysia dan luar diberi layanan istimewa. Selain dari menunjuk model plan Forest City, pelawat boleh guna kolam renang yang luas, pantai indah dihias dengan binatang anjing laut diperbuat dengan simen. Makan tengahari percuma.

10. Kebanyakan dari pelanggan datang dari negara China. Diadakan penerbangan khas dari beberapa bandar China ke Senai, Johor. Walaupun rakyat Malaysia boleh beli flat yang sedang dibina, tetapi 90% lebih dari pembeli ialah rakyat negara China.

11. Penghuni Forest City boleh tinggal secara lebih kurang kekal di Forest City. Tidak ada syarat melarang mereka dari menjadi warganegara Malaysia setelah tinggal sekian lama. Oleh kerana Forest City ini adalah dalam Malaysia, tidak ada sekatan bagi penduduknya memasuki mana-mana kawasan di Malaysia. Tetapi mereka perlu visa jika ingin ke Singapura.

12. Forest City ini pula diberi status bebas cukai. Status bebas cukai Langkawi sudah ditarik balik kerana merugikan Kerajaan. Tetapi mereka yang akan mendiami Forest City, kebanyakannya orang asing akan menikmati status bebas cukai apabila barangan import dari mana-mana termasuklah negara mereka sendiri diimport terus ke Forest City.

13. Ya. Memang hebat Forest City ini. Tetapi hari ini dilapor bahawa pengeluaran wang dari negara Cina tidak akan dibenar lagi. Apakah ini akan menghalang rakyat China dari membeli flat mewah di Forest City.

14. Saya diberitahu bahawa flat di Forest City boleh didapati percuma jika sebuah flat atau hartanah dibeli di negara China. Tidak akan ada bayaran yang perlu dibuat di Malaysia. Syarikat Forest City tidak perlu bayar apa-apa cukai di Malaysia kerana tidak mendapat apa-apa keuntungan di sini.

15. Jika duit tidak boleh dikeluar dari negara China, pembeli mungkin pinjam duit dari bank di Malaysia. Saya difahamkan bahawa seorang rakyat asing bernama Peter Sondakh membeli tanah di Malaysia dengan pinjaman 90% dari bank Malaysia. Orang Malaysia akan disoal panjang jikalau meminjam, mengeluar atau memasukkan wang RM50,000 atau lebih sebelum dilulus. Ini adalah oleh kerana Kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap pembersihan duit yang dicuri atau didapati secara haram.

16. Forest City ini akan diduduki hampir 90% orang asing. Apakah ia akan ditadbir oleh Dewan Bandaraya J.B atau akan punyai dewan bandar sendiri. Apakah bahasa rasminya? Wallahu Wa’allam!

17. 700,000 penduduknya berhak keluar masuk ke mana-mana di Malaysia, mungkin membeli harta di lain-lain tempat, mungkin juga mengadakan bisnes.

18. Mengikut undang-undang Malaysia selepas 12 tahun mereka berhak menjadi warganegara Malaysia dengan hak mengundi. Tidak ada jaminan ini tidak akan berlaku. Bahkan dengan sokongan orang kuat masa boleh dipendekkan.

19. Sesungguhnya Malaysia amat pemurah. Siapa sahaja boleh tinggal di sini. Sejak merdeka sudah 700,000 kerakyatan telah diberi kepada orang asing. Benarlah Malaysia ini negara berbilang kaum. Dengan izin Najib ia boleh jadi lebih berbilang kaum.
Syabas.

0 comments:

Catat Ulasan

DISCLAIMER

Assalamualaikum.

Segala Komen atau kritikan adalah atas tanggungjawab pemberi komen sendiri.

Buat masa kini komen boleh diberikan atas nama Anon, tetapi pihak Kedah Times masih terpaksa menapis komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

Sekian, terima kasih.

 

Dari Mana Mereka

Pelawat sejak 18-04-2010

free counters

Arkib

Pengikut 2

Pengikut

© 2010 Laman Kedah Times Copyright by Kedah Times | Courtesy of Three Column Templates